Header Ads

Pegawai polis bersalah rasuah RM36,000

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) disabit bersalah meminta dan menerima rasuah berjumlah RM36,000 lapan tahun lalu di Mahkamah Seksyen, di sini, semalam.

Mansor Mohamad, 55, menghadapi enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada tiga individu yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram di Muar antara 21 April dan 5 Mei 2003 ketika menjadi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah tersebut.

Dia didakwa meminta rasuah sebanyak RM6,000 daripada Toh Ah Ban di sebuah hotel pada 21 April jam 2 petang bagi tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan itu.

Mansor juga meminta jumlah rasuah yang sama daripada Wong Choon Seng dan Lee Cheng Seng masing-masing di Plaza Tol Plus Tangkak dan di sebuah stesen minyak dekat Jalan Temenggung Ahmad pada 28 April jam 12 tengah hari dan 2 petang.

Dia didakwa menerima wang tersebut dari ketiga-tiga lelaki berkenaan di sebuah bilik hotel pada 9 Mei, 10.15 malam.

Untuk kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut nilai lebih tinggi.

Hakim, Mohamad Haidar Abdul Aziz menjatuhi hukuman empat tahun penjara bagi setiap kesalahan tersebut dan mengarahkan hukuman berjalan serentak mulai hari ini serta denda RM180,000 atau 12 bulan penjara jika gagal membayarnya.

Peguam tertuduh, Rosli Kamaruddin memohon hukuman terbabit ditangguh¬kan bagi membolehkan rayuan dibuat terhadap keputusan itu dengan mengambil kira anak guamnya seorang penjawat awam yang berkhidmat cemerlang sepanjang 30 tahun perkhidmatannya.

Mohamad Haidar kemudiannya membenarkan penangguhan hukuman itu dan mengarahkan tertuduh mengemukakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sumber: Sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.