Header Ads

Pembangunan di negeri Umno: Penduduk Asal berang tanah perkuburan diceroboh

JOHOR BAHRU: Lebih 100 penduduk Orang Asli Seletar Laut, berang apabila tanah perkuburan nenek moyang mereka didakwa dicerobohi bagi projek pembangunan.

Wakil penduduk, Eddy Salim berkata, kejadian itu dikesan berlaku sejak seminggu lalu, apabila hampir satu ekar tanah perkuburan berusia lebih 30 tahun diterokai dan turut menjejaskan 10 kubur lama di situ.

“Saya dimaklumkan oleh penduduk Orang Asli Kampung Bakar Batu mengenai kejadian itu. Saya terus ke lokasi dimaksudkan dan mendapati ada sebuah jentolak sedang menjalankan kerja-kerja di situ.

“Hampir satu ekar kawasan telah diteroka. Oleh kerana berasa terancam dengan keadaan itu, saya telah membuat laporan polis dan mahu semua kerja-kerja penolakan tanah dihentikan.

“Saya kecewa dengan keadaan yang berlaku. Tanah kami diceroboh tanpa mengadakan sebarang rundingan,” katanya selepas sesi dialog bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Muha­mad Sha’ani Abdullah dan Pegawai di Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor Bahru, Mohd Badri Ismail.

Eddy yang merupakan anak tok batin Kampung Sungai Temon berkata, kawasan perkuburan itu menjadi tempat persemadian penduduk Orang Asli dari lima kampung berdekatan iaitu Kampung Orang Asli Bakar Batu, Pasir Putih, Sungai Tiram, Simpang Arang dan Sungai Temon.

Katanya, selain kejadian terbabit, perkara lain yang dibangkitkan ialah mengenai status pemilikan tanah yang didiami mereka seluas 36 ekar yang didakwa telah didiami sejak tahun 1960-an.

“Apa yang kita mahu sekarang ialah tanah Orang Asli, dikembalikan hak kepada Orang Asli.

“Ini tanah nenek moyang kami, tanah perkuburan bagi balik hak kepada Orang Asli," katanya.

Sementara itu, Muhamad Sha’ani berkata, pihaknya bertindak selaku perantara bagi mewujudkan saluran penyelesaian bagi isu yang dibangkitkan.

Beliau meminta Kerajaan Negeri menjelaskan isu tersebut dengan mengadakan rundingan agar ia tidak dipanjangkan.

Walau bagaimanapun katanya, kerja penolakan tanah di kawasan tanah perkuburan itu telah dihentikan serta-merta.

“Sebarang kerja pembangunan dihentikan. Proses seterusnya ialah Orang Asli dan pihak sepatutnya harus memulakan rundingan dan penjelasan kerana masih banyak persoalan asas masyarakat Orang Asli ini yang perlu dijelaskan.

“Ia perlu dijelaskan supaya tidak terus menjadi satu isu tidak puas hati di kalangan mereka dan juga satu perkara yang boleh memburukkan nama baik kerajaan,” katanya.

Sumber: Sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.