Header Ads

Pembebasan Anwar kuatkan lagi Pakatan Rakyat hadapi PRU-13 - Presiden PAS


SOKONGAN MORAL: Presiden PAS Datuk Seri TG Hadi ketika tiba bersama pemimpin PAS di perkarangan mahkamah hari ini. | foto Harakahdaily

PAS mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembebasan beliau hari ini dan harap ia permulaan baik untuk proses keadilan di Malaysia.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang berharap, keputusan ini menguatkan lagi Pakatan Rakyat.

Kenyataan itu disampaikannya ketika ditemui para wartawan di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Hadi berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bersama dengan puluhan ribu rakyat yang berhimpun bagi memberikan sokongan moral kepada Anwar.

Anwar dibebaskan oleh mahkamah selepas pihak pendakwa gagal memberikan bukti tanpa keraguan dalam kes ini.

Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah berkata, pihak mahkamah tidak dapat menolak kemungkinan kesahihan sampel yang dikemukakan telah dikompromikan.

“Kita harapkan keputusan ini menguatkan lagi Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” kata Abdul Hadi.

Beliau juga bagi pihak PAS melahirkan rasa syukur kepada Allah dan “kita ucap tahniah kepada Datuk Seri Anwar di atas pembebasan ini.”

Beliau berharap, ini permulaan baik kepada proses keadilan di Malaysia melalui sistem pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman yang di amal dalam negara demokrasi.

Bukan sahaja mahkamah ini, mahkamah rakyat juga perlu diberi keadilan dalam pilihan raya, katanya.

Ketika ditanya wartawan, adakah mahkamah sudah dilihat adil, Abdul Hadi berkata, “Masih terlalu awal, beribu-ribu kes lagi, banyak lagi kes yang kita perlu tengok.”

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.