Header Ads

Piala Carling: Liverpool singkir Man City, temu Cardiff City di final


Craig Bellamy (tengah) meraikan jaringan selepas membantu Liverpool singkirkan Man City dalam separuh akhir kedua perlawanan Piala Carling di Anfield, Liverpool, pada 25 Januari, 2012. | foto AFP
Liverpool kembali ke pentas final di Wembley buat kali pertama sejak 1996 apabila berjaya menyingkirkan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City dengan agregat 3-2 pada separuh akhir Piala Carling hasil keputusan seri 2-2 pada aksi kedua di Anfield, semalam.

Selepas menang 1-0 pada separuh akhir pertama di tempat lawan, Liverpool bangkit dua kali daripada ketinggalan dengan sepakan penalti Steven Gerrard pada minit ke-41 menyamakan jaringan awal City menerusi Nigel De Jong pada minit ke-31.

City kemudian mendahului 2-1 hasil jaringan Edin Dzeko pada minit ke-67 tetapi Craig Bellamy mengesahkan kemaraan Liverpool apabila menjaringkan gol penyamaan 2-2 pada minit ke-74.

Pada aksi final Piala Carling di Wembley, 26 Februari depan, Liverpool bakal bertemu kelab dimiliki hartawan Malaysia, Cardiff City yang mara selepas menyingkirkan Crystal Palace, kelmarin.

Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish yang menitiskan air mata sebaik tamat perlawanan berkata, “Mungkin kami dah terlupa jalan nak ke Wembley sebab dah bertahun kami tidak beraksi di sana. Tapi saya pasti pemandu bas kami takkan lupa jalan ke sana.

“Memang ia bukanlah sesuatu yang baik buat seluruh anggota dan penyokong Liverpool selama beberapa tahun ini. Tapi seperti yang saya katakan sebelum ini, jika kita kekal bersatu, pasti ganjaran akan diperolehi.

“Para pemain telah mempamerkan satu persembahan yang mengagumkan dan segala kepincangan ketika kami tewas kepada Bolton minggu lalu berjaya diperbaiki pada perlawanan ini,” ujar Dalglish.
Dikuasakan oleh Blogger.