Header Ads

Piala FA: Man United singkir Man City


Wayne Rooney (kiri) meraikan gol keduanya menentang Manchester City pada perlawanan bola sepak Piala FA di Stadium Etihad di Manchester, utara England, malam tadi. | foto Reuters

WarkahDaily -- Manchester United guna 45 minit pertama sebaik mungkin untuk berjaya mara ke pusingan seterusnya dalam perlawanan Piala FA selepas berjaya menewaskan juara bertahan, Manchester City 3-2 di pusingan ketiga di Stadium Etihad di Manchester, malam tadi.

Wayne Rooney menjadi hero United selepas menjaringkan dua gol untuk pasukan pelawat benam tuan rumah yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Vincent Kompany dibuang padang di minit ke-11 kerana menerima kad merah.

Sebelum itu, City sudah pun ketinggalan 0-1 hasil jaringan Wayne Rooney di minit ke-10. Danny Welbeck meletak pasukan pelawat bertambah selesa menerusi jaringan gol cantik dari sudut sukar pada minit ke-30.

Selang 10 minit, United bertambah selesa dengan kedudukan 3-0 apabila Wayne Rooney menambah koleksi gol keduanya malam tadi di minit ke-40.

Walaupun City bertali arus melakukan serangan di separuh masa kedua, namun dua gol hasil jaringan Aleksandar Kolarov pada minit ke-47 melalui sepakan percuma dan Sergio Aguero minit ke-64 belum cukup untuk bangkit untuk mara ke pusingan seterusnya.

Perlawanan itu turut menyaksikan Sir Alex Ferguson telah memberi laluan Paul Scholes yang dilaporkan mahu bersara masuk sebagai pemain gantian untuk memimpin bahagian tengah yang tampak lesu.

Ketika City melakukan serangan bertali arus, United sekali lagi berpeluang menambah jaringan, namun anak buah Ferguson kelihatan berang dengan tindakan pengadil, Chris Foy yang tidak menghadiahkan sepakan penalti selepas Valencia dijatuhkan dalam kotak penalti.

Penjaga gol United, Anders Lindegaard terpaksa berhempas pulas mempertahankan gawangnya dari dibolosi pemain City yang menunjukkan semangat tinggi untuk menyamakan kedudukan sehingga wisel penamat.

Dalam perlawanan seterusnya, Manchester United akan berkunjung ke Anfield untuk pertemuan dengan Liverpool pada 28 Januari ini dalam pusingan keempat.
Dikuasakan oleh Blogger.