Header Ads

Rombakan Portfolio: Pemuda PAS mahu penjelasan MB Selangor

WarkahDaily -- Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyatakan hasrat mereka untuk bertemu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi mendapatkan penjelasan berkaitan rombakan kecil portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN).

Naib Ketua DPPM, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, Pemuda PAS mohon untuk bertemu dengan Tan Sri Khalid bagi mendapatkan penjelasan bagi portfolio baru yang diamanahkan kepada PAS.

“Kami berhasrat untuk bertemu dengan Tan Sri Khalid berikutan perubahan Portfolio daripada Ahli MMKN yang diwakili oleh PAS dan untuk mendapat penjelasan bagi Portfolio baru yang diamanahkan kepada PAS Selangor,” kata Dr Raja Ahmad (gambar) dalam satu kenyataan media yang diemailkan kepada WarkahDaily petang ini.

Menurut Dr Raja Ahmad, Pemuda PAS mahu mendapatkan gambaran berkaitan rombakan portfolio dan skop kerja bagi pimpinan kerajaan Negeri Selangor setelah diumum rombakan portfolio oleh Tan Sri Khalid.

Perubahan kecil portfolio itu telah diumumkan MB Selangor selepas perlantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang dari PAS, Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai exco baru, semalam.

Semalam, Dr Yunus telah mengangkat sumpah sebagai exco baru kerajaan negeri Selangor bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali yang dipecat dari PAS baru-baru ini.

Dengan perlantikan itu, Dr Yunus telah diamanahkan dengan Portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.

Hasan Ali sebelum ini telah memegang Portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor.

Namun, disebabkan rombakan, skop portfolio yang diberikan kepada wakil PAS itu dilihat seolah-olah ‘mengecil’ berbanding sebelum ini.

Bagi MB Selangor, Dr Yunus yang dilantik memegang portfolio berkenaan kerana beliau pernah menjadi pembantu exco untuk portfolio Belia dan Sukan sebelum ini.

Portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam telah diambil alih oleh Tan Sri Khalid sendiri.

--WARKAHDAILY
Dikuasakan oleh Blogger.