Header Ads

Saiful perlu dihadap pertuduhan Qazaf kerana mahkamah dah sahkan Anwar tidak bersalah

Mahkamah Syariah digesa meneruskan pertuduhan qazaf yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan (gambar).

Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, pertuduhan qazaf itu harus diteruskan memandangkan Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan Anwar bebas daripada tuduhan meliwat Saiful.

"Keputusan mahkamah hari ini menunjukkan tidak berlaku dakwaan liwat.

"Kes ini (qazaf) telah difailkan tetapi sengaja ditangguhkan tanpa sebab, kononnya untuk menunggu keputusan mahkamah dan hari ini mahkamah membuktikan tidak berlaku liwat," kata beliau ketika ditemui di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan Anwar yang merupakan Ketua Umum PKR, bebas daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukjari Azlan di sebuah kondominium, empat tahun lalu.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati wujudnya elemen tiada integriti dalam sampel DNA.

Menurut Ahmad Zamri, dengan keputusan tersebut, Saiful berhak didakwa di bawah kesalahan qazaf kerana memfitnah Anwar meliwat tanpa membawa saksi.

"Ini merupakan kesalahan jenayah syariah dan saiful boleh dituduh di bawah akta kesalahan jenayah Wilayah Persekutuan," katanya.

Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Anwar memfailkan tuntutan qazaf tersebut pada 8 Julai 2008 namun ditolak.
Dikuasakan oleh Blogger.