Header Ads

Selepas ingkar arahan mohon maaf, pemuda Umno Perak dituntut bayar RM600 ribu


Pegawai Komunikasi Media Pemuda Umno Perak, Syed Afzarizal Syed Salim telah menerima notis saman dari wakil Pemuda PAS Perak di Pejabat Pemuda Umno Perak, semalam di Ipoh. | foto Harakahdaily

WarkahDaily – Gara-gara gagal patuh tempoh 3 hari untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan mengaitkan Unit Amal PAS dengan demonstrasi pelajar di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 1 Januari lalu, pemuda Umno Perak kini dituntut membayar ganti rugi RM600 ribu kepada Dewan Pemuda PAS Perak.

Semalam, pemuda PAS Perak yang diwakili Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) telah pun membuat serahan notis samannya terhadap fitnah jahat pemuda Umno itu di pejabat pergerakan itu dan diterima Pegawai Komunikasi Media Pemuda Umno Perak, Syed Afzarizal Syed Salim.

Notis saman berkenaan dibuat atas Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak dan Naib Ketuanya, Mohamad Annuar Ariffin.

Serahan notis telah diketuai oleh Peguam dan Pengarah Undang-Undang Pemuda PAS Perak, Mohammed Zamri Ibrahim. Turut serta dalam membuat serahan itu, Penolong Setiausaha Pemuda PAS Perak, Safarizal Saleh, Exco Pemuda PAS Perak, Mohd Hakimi Syah Alani, Zairul Azrun Zainal Abidin dan Pengarah Jabatan Amal Negeri Perak, Arif Sha'arani.

Menurut Penolong Setiausaha Pemuda PAS Perak, Safarizal Saleh, PAS Perak akan menunggu tempoh yang telah dinyatakan bagi tujuan tuntutan ganti rugi tersebut.

Jika Pemuda Umno Perak dan Annuar masih ingkar dan gagal melunaskan tuntutan ganti rugi berkenaan, tindakan susulan bakal diambil mengikut lunas undang-undang, jelas Safarizal.
Dikuasakan oleh Blogger.