Header Ads

Sultan perkenan gugur Hasan, Exco baru akan dilantik minggu depan

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan untuk membatalkan pelantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor ekoran keputusan Pas memecatnya sebagai ahli parti itu, awal minggu ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, baginda bertitah demikian selepas mempersembahkan surat rasmi bertarikh 10 Januari dari Pas memaklumkan jawatankuasa kerja pusat parti itu, yang bersidang 8 Januari lalu, membuat keputusan memecat Hasan (gambar) berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, memandangkan Hasan bukan lagi ahli Pas, beliau memutuskan bahawa Hasan tidak layak serta tidak boleh menjadi Exco Kerajaan Negeri dan menasihati Sultan Sharafuddin untuk membatalkan pelantikan beliau.

“Sultan Selangor telah bersetuju dengan pendapat saya dan baginda akan menulis surat pembatalan pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Pada masa yang sama, Tuanku bertitah, Tuanku menurunkan kuasanya kepada saya untuk melantik ahli Majlis Kerajaan Negeri yang baru. Tuanku turut menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi mana-mana pihak,” katanya.

Abdul Khalid berkata, pelantikan Exco baru dari Pas akan disempurnakan di Istana Bukit Kayangan, Rabu depan.

Bagaimanapun katanya, beliau belum menerima senarai calon yang bakal menggantikan Hasan sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam secara rasmi dari Pas.

“Belum secara rasmi, dalam dua hari ini saya akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Pas untuk berbincang tentang perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga belum menerima surat peletakan jawatan dari Hasan tetapi Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia itu sebelum ini ada menulis surat untuk bercuti sahaja.
Dikuasakan oleh Blogger.