Header Ads

Terbuka Malaysia: Chong Wei, regu utama, regu wanita lepasi halangan, Hafiz kecundang


Chong Wei ketika beraksi dalam pusingan pertama Siri Super Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. | foto Arena.my

WarkahDaily - Juara bertahan tujuh kali, Datuk Lee Chong Wei, pasangan regu utama negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong dan regu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei berjaya layak ke pusingan seterusnya selepas masing-masing melepasi halangan pertama perlawanan badminton Siri Super Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam.

Namun lain pula nasib pemain perseorangan kedua negara, Muhammad Hafiz Hashim yang terkandas di pusingan pertama kejohanan berkenaan selepas tewas kepada Dionysius Hayom Rumbaka dari Indonesia.

Chong Wei dilihat tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengatasi rakan senegara, Liew Daren dengan keputusan ‘straight set’ 21-8, 21-11 dalam tempoh setengah jam.

Manakala buat regu utama negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong turut melakar kemenangan straight set keatas Rupesh Kumar-Sanave Thomas dari India dengan 21-14, 21-13.


Woon Khe Wei (dua dari kanan) dan Vivian Hoo Kah Mun (kanan) ketika meraikan kejayaan melepasi pusingan pertama Siri Super Terbuka Malaysia bersama jurulatih mereka di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. | foto Arena.my
Bagi regu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei pula, mereka telah melakar sejarah apabila berjaya mengejutkan pasangan No. 5 dunia, Miyuki Maeda-Satoko Suetsuna dalam permainan yang sukar dengan kedua-dua regu, masing-masing berkejaran mata sehingga mengheret perlawanan untuk beraksi dalam tempoh 79 minit.

Akhirnya Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei berjaya menumpaskan wakil dari Jepun itu dengan 15-21, 21-19, 21-17.

Menurut pasangan wanita itu, kemenangan mereka banyak dibantu oleh sokongan peminat yang datang memberi sokongan di stadium berkenaan.

“Peminat yang hadir menunjukkan sokongan moral kepada kami, dan ia memberikan kami kekuatan untuk melalui tempoh perlawanan yang sukar,” kata Vivian.

Sementara Hafiz yang mendahului di set pertama 21-17, namun kerana keletihan dan ketangkasan lawan di set kedua menyebabkan pemain dibawah bimbingan kelab Kuala Lumpur Rackets Club (KLRC) itu hilang arah sehingga sedikit demi sedikit kehilangan mata terhadap lawan.

Hafiz tewas dengan keputusan 21-17, 12-21, 11-21 dalam tempoh 54 minit.
Dikuasakan oleh Blogger.