Header Ads

Terbuka Malaysia: Lin Dan kalah mengejut kepada wakil Denmark, Jorgensen


Lin Dan ketika menentang Jan O Jorgensen pada pusingan kedua Siri Super Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. | foto Arena.my

Impian ramai peminat untuk menyaksikan Datuk Lee Chong Wei bertemu musuh ketatnya Lin Dan di final Siri Super Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila pemain dari China itu tewas mengejut kepada wakil dari Denmark, Jan O Jorgensen di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam.

Lin Dan yang baru sahaja tewas kepada Chong Wei dalam final Terbuka Korea tempoh hari, nyata lebih kecewa kali ini apabila tumbang kepada pemain bukan pilihan 14-21, 21-15, 21-15 dalam masa 58 minit.

Pada set pertama Lin Dan mudah menewaskan Jorgensen, namun pada babak kedua dan ketiga beliau dilihat terleka ditambah pula tekanan berdepan dengan penyokong yang rata-ratanya berpihak kepada Jorgensen.

Pemain No.2 dunia itu, enggan ditemubual wartawan dan terus meninggalkan stadium Putra Bukit Jalil sejurus selepas tamat perlawanan.

Kegembiraan Jorgensen jelas terpancar diraut wajahnya ketika ditemubual, lebih-lebih lagi ia adalah kemenangan terbesar sepanjang kariernya.

"Ini adalah kemenangan terbesar saya. Sebelum ini, saya menjalani latihan yang ketat dan turut terpaksa melalui pelbagai saat sukar dalam hidup.

"Sebelum Kejohanan Dunia tahun lalu, ibu saya meninggal dunia manakala selepas kejohanan tersebut saya hampir-hampir mahu bersara dari badminton kerana mengalami masalah jantung. Selepas menerima rawatan, saya kembali pulih sebelum menyertai Terbuka Korea baru-baru ini," katanya.

Pada Terbuka Korea, Jan mempamerkan aksi memberangsangkan dengan berjaya menewaskan Chen Jin sebelum tewas kepada Lin Dan.

Sumber: Arena.my
Dikuasakan oleh Blogger.