Header Ads

Terbuka Malaysia: Regu wanita negara menang percuma untuk ke suku akhir


Vivian Hoo Kah Mun (kiri) dan Woon Khe Wei melayakkan diri ke suku akhir Siri Super buat kali pertama dalam kariernya, pada kejohanan badminton Siri Super Terbuka Malaysia. | foto Arena.my

Pasangan regu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei meraih tiket percuma ke suku akhir kejohanan badminton Siri Super Terbuka Malaysia apabila lawannya dari Indonesia Anneke Feinya Agustin-Nitya Krishinda Maheswari menarik diri di pusingan kedua, semalam.

Keputusan tersebut membenarkan pasangan negara itu melayakkan diri ke suku akhir Siri Super buat kali pertama, selepas turut mengejutkan beregu No. 5 dunia, Miyuki Maeda-Satoko Suetsuna kelmarin di pusingan pertama.

"Kami baru sahaja mengetahui perkara ini sejurus tiba di Stadium, bagaimanapun kami tetap bakal melalui laluan sukar di peringkat suku akhir kejohanan ini," kata pemain berusi 22 tahun, Khe Wei.

Pasangan itu akan berdepan wakil China, Bao Yixin-Zhong Qianxin yang pernah ditewaskannya dalam perebutan gelaran kejohanan GP Emas Indonesia tahun lalu.

"Kami telah menewaskan pasangan ini dan tahap mental kami kini semakin kuat. Tetapi, perlawanan ini dijangka akan lebih mencabar. Kami memiliki sehari untuk rehat yang mana ia memberi kelebihan buat kami.

"Kami berharap, bermain ditempat sendiri turut memberikan kelebihan buat kami. Kami pasti akan melakukan yang terbaik," tambahnya.

Sementara itu, wakil perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi tewas 21-18, 21-6 kepada pemain Jerman Juliane Schenk.

"Saya merasakan saya kekurangan tenaga kerana terlibat dalam banyak kejohanan tahun lalu. Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan tahap prestasi kerana sekurang-kurangnya dapat mencabar rapat pada set pertama.

Sumber: Arena.my
Dikuasakan oleh Blogger.