Header Ads

Amalan kerajaan BN guna wang KWSP biaya projek ancam 11 juta pencarum

WarkahDaily -- Pencaruman wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 11 juta rakyat Malaysia bakal terancam akibat amalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sewenang-wenangnya mengeksploitasi wang berkenaan untuk tujuan membiayai projek di bawah inisiatifnya.

Perkara itu disebut oleh ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua (gambar) dalam satu kenyataan baru-baru ini. Menurutnya, langkah kerajaan BN mengambil duit daripada KWSP untuk membiayai sesebuah projek bakal memberi ancaman kepada pencarum.

Dipetik dari Harakahdaily, Tony Pua menjelaskan, tujuan caruman KWSP ialah untuk melindungi titik peluh pendapatan 11 juta rakyat Malaysia dengan memaksimakan pulangan dengan pelaburan yang paling kurang risiko untuk memberikan jaminan pendapatan selepas ahli-ahlinya bersara.

“KWSP bukan peminjam yang terakhir untuk golongan miskin ataupun ia adalah sebuah organisasi kebajikan awam. Dengan menggunakan RM1.5 bilion duit para pekerja Malaysia untuk dipinjamkan kepada pembeli-pembeli yang tidak lulus mendapat pinjaman daripada bank hanyalah membahayakan caruman mereka dan ini adalah satu jenis salahguna kuasa kerajaan,” tegas Pua.

Jika perkara ini dibolehkan kali ini, Pua membayangkan lebih banyak projek inisiatif BN untuk tujuan politik akan dibenarkan menggunakan duit EPF atas nama kebajikan.

“Ini adalah satu selekoh berbahaya yang mengancam simpanan hari tua ahli KWSP,” kata Pua, sambil menegaskan kerajaan harus mencari dana untuk programnya sendiri dan bukannya melalui KWSP.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, sebanyak RM1.5 bilion telah diambil daripada KWSP untuk membiayai Skim Pembiayaan Khas Penjualan Program Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan Perumahan Awam DBKL.

Menurut Nong Chik, skim perumahan yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membolehkan mereka yang gagal mendapat pinjaman daripada bank, kerasa bersara atau tidak berpendapatan tetap, tapi berkelayakan untuk membeli rumah untuk memiliki sebuah rumah milik mereka sendiri.

Nong Chik berkata melalui skim itu, mereka yang layak dapat membeli rumah jenis pangsapuri dengan harga antara RM25,000 dan RM35,000.

“Mereka hanya perlu membayar balik (pembiayaan itu) antara RM150 dan RM300 sebulan selama 25 tahun,” katanya.

Bagi Tony Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP, walaupun beliau menyokong inisiatif kerajaan untuk menyediakan rumah kos rendah dan mampu milik, tapi langkah kerajaan untuk menggunakan duit KWSP sememangnya tidak boleh dipersetujui.
Dikuasakan oleh Blogger.