Header Ads

Anelka tiba untuk sarung jersi Shanghai Shenhua


NICOLAS Anelka menunggu dokumennya diperiksa oleh pegawai Imigresen ketika tiba di Lapangan Terbang Pudong, Shanghai semalam. | foto Reuters
SHANGHAI: Nicolas Anelka, pemain asing paling berprofil tinggi yang bakal beraksi dalam liga bola sepak China, tiba di sini semalam untuk menyertai pasukan barunya, Shanghai Shenhua.

Bekas penyerang Chelsea berusia 32 tahun itu dirakam bergambar dengan pegawai imigresen sebaik sahaja tiba di lapangan terbang, sebelum diiringi pegawai keselamatan ketika melalui pintu keluar orang kenamaan, lapor media tempatan Eastday.

Peminat bola sepak China berharap pemain antarabangsa Perancis itu bukan sahaja mampu melonjakkan Shenhua, yang menduduki tangga tercorot liga musim lalu, tetapi juga meningkatkan standard bola sepak Liga Super negara itu yang dilanda skandal rasuah.

"Anelka akhirnya tiba di Shenhua. Impian saya menjadi kenyataan. Prestasi Shenhua pastinya wajar diperhatikan musim ini," kata seorang peminat.

Anelka kemudian di bawa ke sebuah hotel mewah di sini.

Pegawai Shenhua mengesahkan ketibaan pemain itu. Para pemain kelab itu tiba semalam selepas menjalani latihan di Sepanyol.

Seorang peminat yang melihat kelibat Anelka berkata, kehadiran pemain itu pastinya menarik minat bola sepak China.

"Sudah pasti saya akan menyaksikan perlawanan musim ini," katanya.

Saingan musim ini akan bermula bulan depan, namun Shenhua tidak mengumumkan tarikh sebenar.

Begitupun, sesetengah peminat kurang yakin dengan kemampuan seorang pemain untuk menjulang Shenhua ke puncak liga.

"Bahagian pertahanan Shenhua begitu lemah. Hanya bergantung kepada Anelka untuk memenangi kejuaraan liga merupakan mimpi sahaja," katanya.

Ketibaan Anelka setahun selepas skandal rasuah dalam bola sepak China, yang menyebabkan pegawai kanan dipenjarakan dan reputasi Liga Super China terjejas teruk

Anelka dijangka bertemu peminat hari ini di mana dia akan melancarkan permainan baru secara atas talian untuk syarikat-syarikat China yang diterajui Shenhua sebagai pemegang saham terbesar.

Sumber: AFP
Dikuasakan oleh Blogger.