Header Ads

Barcelona menang selesa, Lyon menang tipis


Pemain Bayer Leverkusen, Stefan Reinartz (kanan) cuba mencabar Lionel Messi sebelum penyerang Barcelona itu menjaringkan gol ketiga pasukannya dalam Liga Juara-Juara di Bay Arena, semalam. | foto Reuters
LEVERKUSEN: Juara bertahan Barcelona mengorak langkah mantap menuju ke suku akhir Liga Juara-juara Eropah setelah menang 3-1 ke atas Bayer Leverkusen dalam aksi pertama pusingan kedua.

Walaupun jaguh Sepanyol itu mengalami musim domestik yang mengecewakan, di mana mereka kini 10 mata di belakang pendahulu Real Madrid, kehebatan mereka di pentas Eropah masih lagi unggul.

"Saya rasa aksi babak kedua kami agak bagus, kami gunakan ruang sepenuhnya selepas mendahului," ujar jurulatih Barcelona, Pep Guardiola.

"Kami cuba perbaiki permainan kami namun sentuhan terakhir kami masih lagi tidak cukup baik."

Dua gol hasil jaringan bintang Chile, Alexis Sanchez dan satu gol lewat permainan oleh Lionel Messi sudah cukup bagi memastikan Barcelona membawa bekalan selesa ke Nou Camp bagi aksi kedua pada 7 Mac nanti. Pertahahan Leverkusen, Michal Kadled menyumbat gol saguhati buat pasukan tuan rumah tersebut.

Dalam satu lagi aksi pusingan kedua, Lyon menang tipis 1-0 ke atas wakil pertama Cyprus ke pusingan kalah mati, APOEL dan bakal berdepan tugas berat bila perlawanan kedua bakal berlangsung di Nicosia nanti.

Gol Alexandre Lacazette sejurus sebelum sejam perlawanan berlangsung memastikan Lyon memiliki sedikit kelebihan ke atas APOEL namun jurulatih kelab kerdil itu, Ivan Jovanovic enggan mengaku kalah.

"Daripada perspektif kami, tiada apa yang perlu ditakuti bila aksi berlangsung di laman kami sendiri nanti," tegas Jovanovic.

Sumber: AFP
Dikuasakan oleh Blogger.