Header Ads

Boleh percaya ke, bumbung stadium pun runtuh, macamana nak pantau Lynas

Bolehkah kita mempercayai Pengerusi MCA Pahang dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk memantau keselamatan dan sekuriti pengendalian Loji Bahan-Bahan Maju Lynas (LAMP) di Kuantan?

Ketika menimbulkan persoalan ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (gambar) berkata, mengharapkan kredibiliti dan profesionalisme Liow untuk memantau projek Lynas sama seperti menaruh kepercayaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membina stadium di Kuala Terengganu yang lambat laun bumbungnya runtuh.

Guan Eng memberi komen demikian dalam satu kenyataan media pada Isnin lepas berikutan MCA Pahang mengumumkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Liow untuk memantau operasi LAMP yang mendapat Lesen Kendali Sementara (TOL) selama dua tahun oleh kerajaan BN.

Menurutnya, Liow jelas memperlihatkan sikapnya yang tidak bertanggungjawab kerana menafikan tindakan pasukan polis menembak gas pemedih mata dan meriam air ke dalam perkarangan Hospital Bersalin Tung Shin semasa Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011.

“Apabila dibuktikan bahawa polis memang telah menembak gas pemedih mata dan meriam air ke dalam kawasan hospital, barulah Liow terpaksa memohon maaf secara terbuka.

“Namun demikian, tidak ada tindakan yang telah diambil ke atas mereka yang cuba menutup isu ini dan memberi laporan palsu,” jelas Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Tidak bertanggungjawab

Beliau menegaskan bahawa pemberian TOL oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) Malaysia untuk loji pemprosesan nadir bumi yang terbesar di dunia adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Ini kerana projek Lynas membawa risiko kepada keselamatan, kesihatan dan juga nyawa rakyat di Kuantan, terutama sekali apabila dasar-dasar perlindungan antarabangsa masih lagi dipertikaikan,’ tegas beliau.

Ujar beliau, dalam kata lain, AELB dan pihak pengawal selia sendiri tidak mempunyai cadangan pembuangan sisa radioaktif yang jelas daripada Lynas.

“Di bawah TOL, Lynas akan bertanggungjawab penuh atas pengurusan sisa termasuk mengembalikannya kepada sumber asal jika perlu.

“Tetapi Australia sudah menyatakan bahawa ia tidak akan mengambil balik apa-apa bahan sisa. Jika begitu, ke manakah sisa-sisa itu akan dikembalikan?

Berhubung masalah bahan sisa ini, Guan Eng menyoal “siapakah pakar dalam MCA Pahang yang akan memantau operasi Lynas dan mengenalpasti sama ada ianya selamat atau tidak?

“Adalah jelas bahawa MCA dan BN rela mengorbankan keselamatan rakyat demi keuntungan besar untuk syarikat tersebut dan juga pihak -pihak yang mempunyai kepentingan dengan membenarkan pengendalian loji nadir bumi Lynas di Kuantan,” jelas beliau.

Sumber: Freemalaysiatoday.com
Dikuasakan oleh Blogger.