Header Ads

China muncul juara kempen kelayakan Piala Thomas 2012 Zon Asia


Chen Long mengalahkan wakil Jepun, Sho Sasaki untuk mata pertama China dalam perlawanan akhir Piala Thomas pusingan kelayakan zon Asia di Macau, semalam. | foto AFP
Seperti diramal, China muncul juara pada kempen kelayakan Piala Thomas 2012 Zon Asia selepas menewaskan Jepun 3-0 pada aksi final di Macau, semalam.

Bagaimanapun, kejuaraan tersebut tidak mendatangkan apa-apa makna buat negara Tembok Besar itu kerana mereka sememangnya telah layak ke pusingan akhir di Wuhan, China Mei depan atas tiket sebagai juara bertahan dan tuan rumah.

Kempen kelayakan kali ini hanya menjadi medan buat barisan pemain China untuk mengumpul mata bagi layak beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London pada Julai depan.

Jepun juga tidak rugi apa-apa atas kekalahan tersebut kerana mereka juga telah layak ke pusingan akhir selepas terlebih dahulu menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik.

Pada aksi final semalam, pemain No. 3 dunia, Chen Long menghadiahkan mata pertama buat China apabila menumbangkan Sho Sasaki 21-19, 21-16.

Beregu utama China, Chai Biao-Guo Zhendong terus mengekalkan rentak kecemerlangan China apabila mengenepikan cabaran pasangan Shoji Sato-Naoki Kawamae 21-17, 22-20.

Du Pengyu melengkapkan kemenangan China apabila menyumbang mata ketiga dengan menewaskan Kazushi Yamada 21-12, 21-11.

Sementara itu, dalam saingan playoff, Korea Selatan muncul pasukan ditempat kelima selepas menang dalam ketiga-tiga perlawanan manakala Taiwan berada di tempat kedua.

Korea Selatan secara automatik layak ke pusingan akhir di Wuhan manakala Taiwan akan dibandingkan kedudukan ranking keseluruhan mereka dengan pasukan keempat kelayakan Zon Eropah sebelum mengesahkan slot untuk ke pusingan akhir.

Terdahulu, dalam saingan Piala Uber, Jepun mencipta kejutan untuk bergelar juara apabila menewaskan China 3-2 pada aksi final kelmarin.

Thailand pula menamatkan kempen kelayakan Piala Uber di tempat ketiga manakala Taiwan keempat. Indonesia yang berada di tempat kelima akan dibandingkan terlebih dahulu kedudukan ranking keseluruhan mereka dengan pasukan keempat kelayakan Zon Eropah.

Sumber: Kosmo.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.