Header Ads

Felda Bakal Musnah?

Legasi Tun Razak yang mahu majukan orang Melayu melalui Felda berkecai sama sekali. Bapa yang membina, anaknya yang menjahanamkan!”

Itulah luahan rasa kecewa Presiden Pertubuhan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman terhadap tindakan kerajaan menyenaraikan Felda Global Venture ke bursa saham. Ikuti temubual wartawan Harakah SALMIYAH HARUN di Ibu Pejabat Agung PAS, 16 Februari lalu.

Wartawan: Sejauh mana matlamat Felda dapat dimanfaatkan oleh orang Melayu seperti dikehendaki pengasasnya Tun Abdul Razak?

MAZLAN ALIMAN: Sebenarnya, kalau kita balik kepada latar belakang sejarah penubuhan Felda tahun 1956 yang diasaskan oleh Tun Razak dengan matlamatnya untuk susun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.

Maka mekanisma kerajaan adalah dengan memberikan sebidang tanah seluas 10 ekar, tapak rumah dan rumah sekali seluas suku ekar. Dengan pendekatan ini, ia merupakan satu jaminan kepada masa depan warga Felda sebab itu strategi diguna pakai dengan kerjasama dua hala antara Kerajaan Pusat sebagai agensi bertanggungjawab dan kerajaan negeri sebagai tuan atas tanah.

Satu strategi yang bijak bagi membolehkan kedua-dua belah pihak Kerajaan Pusat dan negeri mendapat manfaat daripada matlamat yang digariskan kerajaan.

Tetapi apabila Najib Tun Razak mengumumkan penyenaraian dalam FGV ia tersasar daripada matlamat yang digariskan. Pada saya ia satu pengkhianatan terhadap apa yang dibina bermula daripada ayahandanya.

Mengapa Saudara kata begitu?

Sebab saya kata begitu, kerana penyenaraian ini akan mengorbankan tanah seluas 360,000 hektar yang dikenali sebagai Felda Plantation (FP) sebab tanah ini sepatutnya diberikan kepada penerokapeneroka baru sesuai dengan matlamat penubuhan Felda.

Ia sejajar dengan tawaran Buku Jingga dalam tempoh 100 hari yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat selepas ambil alih Kerajaan Pusat. Tanah seluas itu akan diberikan kepada generasi kedua dan ketiga sebagai penerus matlamat Tun Razak untuk diagih-agihkan kepada rakyat.

Jadi, lebih memburukkan keadaan sudahlah Ahmad Maslan menentang keras tawaran Buku Jingga daripada awal lagi beliau tunjuk respons negatif dengan tawaran itu, dan ditambah pula peristiwa beliau membakul sampahkan Buku Jingga.

Tiba-tiba mereka hendak pajakkan tanah itu kepada FGV selama 99 tahun. Ini sangat bertentangan dengan matlamat pemberian tanah kepada rakyat.

Saya fikir tindakan ini seolaholah menjual tanah itu.

Cuma sebut 99 tahun bahasanya agak lunak...

Tapi saya berpendapat tempoh itu sama dengan keadaan geran sementara yang rakyat dapat. Ini harus difahami warga Felda dan saya tak fikir warga Felda boleh percaya seolah-olah tanah FP ini sesuatu yang asing dengan tanah milik mereka, sebab hari ini kerajaan momok-momokan bahawa mereka tidak ambil tanah peneroka.

Jadi mereka gambarkan mereka tidak ambil tanah 360,000 hektar dan tidak ada kena mengena dengan tanah peneroka. Ini satu hujah yang silap. Macam mana mereka pisahkan tanah ratus ribu hektar ini yang sejarah awal tanah ini untuk diberikan pada peneroka baru.

Perlu ingat tanah ini juga menjadi sumber pendapatan Felda di mana ia menyumbang lebih 80 peratus kepada pendapatan. Purata pendapatan daripada tanah ini yang ditanam kelapa sawit hampir RM2 bilion tiap-tiap tahun. Manakala sekitar RM400 juta disumbang melalui anak syarikat. Jadi pendapatan Felda lebih RM2.4 bilion setahun.

Kalau tanah-tanah ini dicagarkan?

Apabila tanah ini dicagarkan kepada FGV mereka akan kehilangan sumber utama sebab mengikut perjanjian yang termeterai antara FP dengan FGV, FGV hanya membayar pajakan dan sewaan untuk setahun cuma bayar RM251 juta sahaja.

Maknanya daripada RM2 bilion FGV hanya bayar 10 peratus daripada pendapatan tahunan melalui tanah ini. Daripada ini kita hilang 80 peratus.

Benarkah dengan penyenaraian itu peneroka memperolehi pendapatan berkali ganda?

Kalau ikutkan perjanjian yang sedia ada, sebenarnya atas perjanjian FGV hanya banyar 15 peratus daripada keuntungan operasi pertanian mengikut harga pasaran minyak sawit mentah lebih kurang RM 2900.

Dengan nisbah 15 peratus setahun FGV hanya bayar 15 peratus keuntungan dengan hanya RM257 juta setahun. Apa yang digembar gemburkan peneroka mendapat keuntungan berlipat kali ganda cuma RM257 juta sahaja.

Di mana hebatnya! Sedangkan pendapatan yang dimeterai dalam perjanjian ini kita jumlahkan RM251 dengan RM257 juta hanya tinggal RM508 juta sahaja. Sedangkan pendapatan Felda adalah RM2.4 bilion setahun. Maknanya Felda mengalami defisit setiap tahun selepas penyenaraian hanya dapat sebanyak RM1.5 bilion setahun.

Apa yang berlaku jika defisit setiap tahun?

Isu yang paling utama dibangkitkan oleh saya, ketua peneroka, bahkan Pengerusi Syabas, Tan Sri Rozali Ismail juga mempersoalkan perkara yang sama di mana Felda akan menampung kekurangan daripada perbelanjaan tahunan mereka sebab perbelanjaan tahunan ditanggung oleh Felda.

Felda kena tanggung perbelanjaan RM1.9 bilion setiap tahun, ertinya kalau mengikut pendapatan sedia ada mereka ada lagi lebihan RM400 juta.

Isu ini masih gagal dijawab oleh pemimpin-pemimpin utama kerajaan baik Najib Tun Razak, Ahmad Maslan ataupun Isa Samad.

Difahamkan Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan mengadakan mesyuarat khas pada 22 Febuari ini. Apa motif di sebalik mesyuarat itu? Koperasi ini sepatutnya berperanan menjaga kebajikan dan kepentingan pemegangpemegang saham yang hari ini ada 220,000 pemegang saham dengan modal syer telah mencecah RM1.46 bilion.

Pada 22 Februari ini akan diadakan mesyuarat khas yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri. Ini pun satu yang pelik hanya hendak rasmikan mesyuarat khas mereka terpaksa bawa Perdana Menteri.

Pada saya setakat nak rasmi mesyuarat agung khas cukup dengan Ahmad Maslan. Sebab apa mereka bawa Perdana Menteri kerana saya yakin Perdana Menteri akan ‘merasuah’ perwakilan antara yang akan dijanjikan adalah durian runtuh yang kononnya. Dia akan umum dalam perasmian boleh meyakinkan 1,000 perwakilan dari seluruh Malaysia untuk sokong penyenaraian.

Saya difahamkan sejak isu KPF yang hendak diambil alih oleh FGV ini mereka telah membelanjakan sejuta lebih untuk turun padang bagi taklimat sampai ke tahap mengadakan mesyuarat khas.

Saya minta SPRM buat pemantaun dari sekarang sebab saya bimbang sogokan akan dilakukan.

Ada sogokan kepada perwakilan?

Saya dapat maklumat mereka akan sogok seorang perwakilan RM350 dan habuan-habuan lain.

Difahamkan perwakilan ini akan diiringi oleh pengurus Felda supaya mengundi usul yang akan dibawa dalam mesyuarat khas ini.

Saya nampak Isa Samad tidak pernah serik dengan apa yang dia buat dalam Umno.

Nampaknya dia menggunakan tindakan yang sama untuk menghalalkan segala tindak tanduk beliau.

Apabila KPF disenaraikan, ketika ini ikuiti KPF dalam Felda Holding dan ladang-ladang peneroka dia lupuskan. Barang diingat selepas penyenaraian ini, ikuiti KPF hanya tinggal 35 peratus sahaja, sekurangkurangaya 20 peratus daripada saham yang diapungkan ini akan ditawarkan kepada pelabur luar.

Jadi ini satu pengkhianatan kepada Felda dan peneroka? Begitu?

Ertinya institusi orang Melayu yang 95 peratus tinggal di Felda akan terdedah kepada syarikat luar. Syarikat ini bukan Melayu, ertinya ini adalah pengkhianatan di sebalik pemimpin-pemimpin Umno yang kononnya bercakap untuk mempertahankan hak orang Melayu.

Ini institusi yang kita pelihara berpuluh-puluh tahun lamanya hari ini, akhirnya yang mengkhianati adalah pemimpin Melayu Umno-BN yang dijadikan modal untuk pertahankan Umno.

Hari ini dengan jelas mereka tawarkan Felda kepada syarikat luar, yang sudah tentu sesiapa sahaja akan menanam modal dan syernya ia merupakan satu titik hitam kepada orang Melayu khususnya Felda

Apa jaminan selepas disenaraikan bahawa peneroka boleh lagi menikmati sebagai mana mereka dapat hari ini?

Contoh yang mudah untuk kita faham, misalnya anak syarikat Felda Oil Produk, ini anak syarikat Felda yang kendalikan isi rong. Asalnya 75 peratus daripada kepentingan syarikat ini dimiliki oleh Felda. Selepas dibuka kepada syarikat luar antaranya daripada Jepun iaitu Mitsui Sdn Bhd yang bermula dengan 18 peratus saham mereka.

Kemudian masuk lagi syarikat Adika Corporatian dengan saham tidak sampai 10 peratus.

Dan ini menyebabkan dalam tempoh tidak sampai lima tahun daripada syer Felda hanya tinggal lebih kurang 36 peratus sahaja dan segala polisi diuruskan oleh syarikat asing.

Apa yang berlaku pegawaipegawai dirombak sehingga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) daripada tempatan kepada syarikat asing menyebabkan dasar-dasdar diputuskan oleh orang asing, bahkan nama syarikat pun telah bertukar kepada Felda Ipco.

Ini satu contoh bagaimana Felda mula jual kepentingan akhirnya tergadai. Jadi apa jaminan kerajaan kepada nasib Felda selepas penyenaraian nanti? Walaupun bermula 20 peratus dan apa jaminan Felda boleh dipertahankan?

Sumber: Tranungkite.net
Dikuasakan oleh Blogger.