Header Ads

Harussani ditegur ‘jangan kutip cerita tepi jalan’

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ditegur cara Sohibus Samahah beliau dalam mengutip dan mengulas berita tanpa menyiasat kesahihan berita terlebih dahulu.

Dalam satu kenyataan berbentuk nasihat hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar kiri) menasihati Harussani untuk meninggalkan tabiat “mengambil berita di tepi jalan yang tidak mempunyai sandaran yang sah atau tidak mengetahui hujung pangkal sesuatu berita, lalu terus membuat ulasan.”

Sebagai seorang mufti, Tuan Ibrahim menasihatkan beliau agar berpegang dengan firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu seseorang fasik membawa berita, maka hendaklah kamu menyiasat dahulu berita tersebut, agar tidak bertindak di atas kejahilan dan akhirnya akan membawa kepada kekesalan".

Suka ambil cerita tanpa sandaran kukuh

“Banyak peristiwa dan kenyataan yang beliau ulas tidak mempunyai sandaran yang kukuh, dan hanya berdasarkan dengar cakap sahaja. Ini termasuklah dakwaan beliau bahawa lebih 200,000 umat Islam telah murtad, dakwaan bahawa Pulau Pinang tidak benarkan perarakan Maulid Nabi dan sebagainya.

"Terbaru beliau cuba mengulas isu bai'ah, dalam keadaan beliau tidak memahami keadaan sebenar,” tegur beliau.

Dalam isu bai'ah yang diamalkan PAS selama ini, Harussani mendakwa bahawa tujuannya adalah untuk menakut-nakutkan ahli kerana soal akhirat adalah ketentuan Allah.

“Jadi kalau kita bersumpah berjanji kita dapati benda itu tak betul tak kan kita tak boleh tarik balik. Tak usah kita menakutkan orang dengan perkara akhirat sedangkan kita sendiri tidak pasti apakah orang berwajib baiah untuk tujuan berpolitik. Pada saya dia boleh buat perjanjian tapi masalah di akhirat bukan masalah kita, ia adalah masalah Allah,” beliau dipetik sebagai berkata.

Bai`ah PAS berdasarkan keilmuan Islam

Menjawab dakwaan Harussani, Tuan Ibrahim berkata bai'ah dalam PAS mempunyai nas dan sandaran yang kukuh dalam sejarah dan keilmuan Islam. Bahkan, kata beliau dalam Al Quran dan Hadis secara jelas membicarakan soal bai'ah samada sewaktu perjanjian Aqabah, Hudaibiyah, dan lainnya, semuanya membuktikan ba’iah ada asas kukuh.

Kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu lagi, PAS menggunakan kaedah bai'ah kepada calon yang mewakili parti agar tidak khianat kepada amanah yang diberi oleh rakyat, lebih-lebih lagi berhadapan dengan Umno yang suka mengoncang iman lawannya dengan taburan duit.

“Mereka yang telah memenangi kerusi samada DUN atau Parlimen mesti sedar ia menang di atas pilihan rakyat. Kalau selepas mereka menang lalu dengan tawaran jutaan ringgit akhirnya ia khianat dan lompat parti sehingga tumbang sesuatu kerajaan yang dipilih rakyat, apakah tindakan begini kita boleh terima dan dibenarkan syarak? Peristiwa perampasan kuasa di Perak, adakah Harussani berasa ini adalah perkara yang harus?” sindir beliau.

Atas dasar itulah, terang Tuan Ibrahim, PAS membuat bai'ah kepada semua calon, di mana mereka yang menang atas tiket parti adalah dilarang lompat parti, keluar parti bahkan, sekiranya dipecat dari parti, mereka mesti mengosongkan kerusi yang dimenangi.

“Kerana asas kemenangan mereka atas lambang parti yang diwakilinya. Tidak timbul soal perkara yang bertentangan dengan hukum syarak. Kerana dalam ba’iah itu, jelas dinyatakan ia tidak diwajibkan taat kepada perkara bertentangan dengan syarak.

Sepatutnya Harussani (gambar kanan) membaca, meneliti dan melihat secara dekat matan ba’iah yang dibuat di dalam PAS, bukan dengan mendengar cakap-cakap mereka yang di luar atau dikeluarkan PAS,” selar beliau.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan Harussani bahawa bai'ah dalam PAS disediakan oleh Majlis Syura yang terdiri dari para alim ulama, bukan oleh DHPP atau dikutip di tepi jalan.

“Soal akhirat memang ketentuan Allah, tetapi apa yang dijelaskan dalam bai'ah ialah sekiranya seseorang calon yang menang berba’iah dengan nama Allah lalu melanggari ba’iah tersebut, apakah salah kalau diingatkan mereka tentang azab Allah di akhirat?

"Banyak hadis menggunakan kaedah ini, dan PAS kita menggunakan kaedah yang sama bagi memelihara perjuangan Islam yang menjadi asas perjuangan PAS,” tambah Tuan Ibrahim.

Harussani berbolak-balik

Namun begitu, kata beliau, reaksi dan ulasan Harussani yang berbolak-balik sudah dijangka dan sudah dilihat sebagai satu kebiasaan kepada yang mengikuti secara dekat kenyataan beliau.

Sebagai contoh, kata beliau ialah dalam isu kehadiran perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ke Batu Caves, di mana, pada awalnya Harussani menyerang PM dengan tuduhan Syirik, rosak aqidah dan tidak mahu mendengar nasihat tiba-tiba bertukar kepada harus, dibolehkan dan tidak bercanggah.

“Inilah yang menyebabkan ramai umat Islam berpendapat mufti seperti beliau, bukannya dirujuk oleh pemerintah sebelum sesuatu tindakan dibuat, sebaliknya dipergunakan untuk mencari dalil dan nas untuk menyokong sesuatu tindakan yang telah dibuat walaupun ia bercanggah dengan nilai Islam,” kata Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim turut membidas cara Harussani mengulas isu perjuangan bangsa dan raja-raja yang yang dikatakannya bukan dari perspektif Islam.

Semasa pelancaran Jati, Harussani berhujah bahawa Nabi Muhammad SAW juga anjur pertahankan Raja dan kaum.

“Kecintaan bangsa dan ketaatan kepada makhluk mempunyai batas sempadan yang sangat jelas. Tindakan beliau, dan disebabkan beliau adalah mufti negeri telah mengundang pelbagai kekeliruan di kalangan masyarakat umum.

"Keadaan ini jika berterusan akan menghilangkan thiqah masyarakat terhadap beliau dan dengan kedudukan beliau sebagai mufti, dan hal ini adalah satu tragedi yang sangat menyedihkan dan malang bagi beliau,” tegas Tuan Ibrahim.

Sumber: Harakahdaiily.net
Dikuasakan oleh Blogger.