Header Ads

Hoslan Hussin: ‘Kenapa saya baling kasut?’

Hoslan Hussin berkata, tindakan beliau melontarkan kasut ke arah hakim ketika sesi Mahkamah Persekutuan Rabu lalu bukan kerana marah diusir dari kuarters kediamannya, tetapi kecewa dengan sistem keadilan negara.

Imam Hoslan, 46, yang ditemui Harakahdaily di Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan di ibu negara semalam mendakwa, sememangnya beliau sudah lama keluar dari kuarters imam tersebut.

Namun apa yang dikesalinya, keputusan tersebut seperti mahu menutup penyelewengan wang masjid Ar-Rahimah oleh pihak tertentu yang dilaporkannya.

"Saya kata kepada Yang Arif, belum pernah dalam sejarah perundangan negara, seorang imam diheret ke mahkamah kerana nak tegakkan agama Islam dan tatacaranya.

"Saya datang ke sini untuk perbetulkan penyelewengan, untuk kembalikan duit kepada masjid," katanya memulakan cerita bagaimana boleh bertindak membaling kasut.

Beliau sebelum ini mendakwa berlaku penyelewengan wang masjid Ar-Rahimah yang mencecah ratusan ribu ringgit.

Selain mengemukakan laporan itu kepada Ketua Polis Negara, maklumat penyelewengan itu juga pernah diserahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sekitar tahun 2007 lagi.

Maklumat sama juga katanya telah disampaikan perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pendedahan berterusan itu ujarnya lagi menyebabkan ada pihak yang tidak senang hati dengannya sehingga pelbagai tekanan dilakukan terhadapnya.

Sehinggalah pada 2008, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menamatkan perkhidmatannya atas dakwaan masalah disiplin dan mengeluarkan notis ke atasnya supaya mengosongkan kuarters yang didudukinya itu.

Ekoran itu juga elaun imam sebanyak RM450 sebulan ditamatkan oleh MAIWP.

Hoslan bagaimanapun tetap berkeras untuk tinggal di kuarters berkenaan, menyebabkan MAIWP mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang beliau daripada terus tinggal di situ.

Dalam kes mahkamah kelmarin, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin menolak permohonan Hoslan supaya diberi kebenaran membuat rayuan ekoran arahan mengososngkan kuarters imam itu.

Ini berikutan bantahan yang dibangkitkan oleh peguam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Zulkifli Che Yong bahawa afidavit imam itu difailkan di luar dari masa yang ditetapkan.

"Bila (Yang Arif) cakap macam tu, saya sudah naik angin satu badan, saya ambik selipar saya terus baling, tak tahu kena siapa lah. Kemudian polis mahkamah datang cuba tangkap saya. Saya ambik sebelah lagi, baling lagi, jadi dua kali baling.

"Pelajar, peguam kat belakang semua keluar, hakim menyorok belakang pintu. Dia takut saya akan mengamuk dan buat huru-hara," katanya sambil tersenyum.

"Tapi saya tidak begitu, saya terus ambil kain ihram atas bahu saya, saya campak ke lantai dan saya angkat takbir, sembahyang dua rakaat," jelas beliau sambil mengangkat tangan cuba menggambarkannya kembali.

Dua lagi hakim yang bersidang dalam kes itu adalah Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaharah Zahari.

Beliau kini bersama 7 orang anaknya menetap di PPRT Cochrane, Kuala Lumpur.

Selain menjadi khatib jemputan, beliau juga menjual kitab serta jubah sebagai sumber pendapatan sampingan.

Menurut Hoslan, beliau kini juga adalah ketua pemuda persatuan penduduk Jalan 1 dan 2 kampung Pandan.

Mahkamah Persekutuan nafi

Dalam pada itu, Ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan membuat satu laporan polis terhadap bekas imam, Hoslan Hussin berhubung dakwaan yang dibuat oleh lelaki berkenaan yang membaling kasutnya ke arah hakim dalam satu sesi mahkamah berkenaan, Rabu lalu.

Kenyataan yang dikeluarkan pejabat pendaftar berkenaan hari ini turut menyangkal dakwaan yang ditimbulkan Hoslan, termasuk tuduhan bahawa lelaki tersebut telah dinafikan hak untuk didengar dengan seadilnya.

"Tuduhan tersebut adalah tidak berasas. Pejabat ini mempunyai rakaman setiap pendengaran yang dijalankan di Mahkamah Persekutuan.

"Badan Kehakiman Malaysia memandang serius perkara yang boleh mencemarkan imej Badan Kehakiman sama ada melalui sebarang tindakan secara langsung atau tidak, termasuklah membuat komen atau kenyataan yang boleh menjatuhkan kredibiliti dan imej institusi kehakiman," katanya sebagaimana dilapor Malaysiakini.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.