Isu MAS: Penyelesaian luar mahkamah dibuat kerana takut Tajudin akan bongkar rundingan rasuah

Ketua Pembangkang itu berkata kes ini melibatkan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa tersebut.
“Saya tahu mereka takut Tajudin akan membongkarkan rundingan rasuah serta mereka yang terlibat bersekongkol dalam hal ini. Saya kira ia mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang terdahulu.
“Perkara ini bukan berkait dengan penyelesaian persendirian tapi melibatkan dana rakyat. Perjanjian ini melibatkan kehilangan RM8 bilion, ingat boleh ditutup sebegitu sahaja.
“Saya fikir tidak wajar perkara ini dirundingkan (di luar mahkamah),” katanya kepada media selepas menghadiri majlis perhimpunan mingguan dan sambutan Maulidur Rasul di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), minggu lepas.
Pinjaman tidak berbayar
Pada 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Tajudin membayar RM589 juta kepada Danaharta yang menguruskan pinjaman tidak berbayar akibat hutang yang ditanggung tokoh korporat itu dalam pembelian saham MAS.
Jumlah itu merupakan baki pinjaman berjumlah RM1.79 bilion yang diberikan kepada Tajudin oleh sekumpulan peminjam bagi membiayai pembelian 32 peratus saham MAS pada 1994.
Tajudin diperintah membayar jumlah asas pinjaman pada 31 Disember 2005 sebanyak RM589,143,205.57 serta faedah dua peratus atas kadar pemberian pinjaman asas Malayan Banking Bhd mulai 1 Januari 2006 sehingga tarikh penyelesaian penuh kes itu kepada Pengurusan Danaharta dan dua anak syarikatnya.
Sementara itu, ketika ditanya pemberita mengenai logo 1Malaysia ke atas barangan subsidi, Anwar menyifatkan ianya merupakan satu lagi tindakan kerajaan Barisan Nasional untuk memancing undi rakyat.
“Tindakan guna logo 1Malaysia menampakkan pilihan raya umum semakin dekat. Isunya jika mereka letak logo harga mesti turun.
“Namun jika mereka letakkan logo tetapi harga tetap naik, mereka tidak akan dapat undi. Rakyat akan lihat logo itu dan sedar bahawa harga barang akan naik,” katanya berseloroh.
Sumber: freemalaysiatoday.com
Post a Comment