Header Ads

Jepun ratah skuad Olimpik negara 4-0


HAMPA...Penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi terduduk hampa selepas pintu golnya dibolosi Jepun awal malam tadi. | foto Arep Kulal
Jepun membuktikan jurang dengan Malaysia masih lagi besar apabila meratahkan skuad Olimpik 4-0 dalam aksi pusingan kedua Kelayakan Olimpik Zon Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, awal malam tadi.

Sebaik wisel ditiupkan Jepun mempamerkan kesungguhan untuk mencari gol namun setiap asakan mereka dapat dikekang sambil Malaysia beroleh beberapa peluang untuk menguji kubu Jepun.

Malaysia kehilangan Mahali Jasuli pada minit ke-17 akibat kecederaan lalu digantikan dengan Affizie Faisal Mamat.

Namun pada minit ke-36, bermulalah igauan ngeri buat skuad bimbingan Ong Kim Swee itu apabila pelawat memecah kebuntuan menerusi tolakan mudah Sakai Hiroki sebelum Osako Yuya menjadikan kedudukan 2-0 seminit menuju waktu berehat.

Pasukan gergasi Asia itu bermula agak perlahan pada awal separuh masa kedua.

Zubir Azmi sering dikerah ekoran kelincahan Sakai Hiroki yang begitu rajin di bahagian kanan dan pada minit ke-54, benteng negara terus dihukum apabila tendangan lambungnya dari penjuru kiri skuad Olimpik Malaysia ditampan masuk Haraguchi Genki.

Jepun mendapatkan gol keempat mereka menerusi Saito Manaru yang berada di posisi tepat untuk menolak masuk bola muntah.

Percaturan membawa masuk Syahrul Azwari Ibrahim dan Fakri Saari juga tidak banyak mengubah rentak permainan Malaysia sehingga wisel penamat.

Sumber: Arena.my
Dikuasakan oleh Blogger.