Header Ads

Kegagalan DEB kerana 'kecurangan' pelaksanaan

Kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di bawah Kerajaan BN sepanjang pemerintahannya sejak 55 tahun lalu disebabkan berpunca dari kecurangan di peringkat pelaksanaannya.

Oleh itu, Malaysia memerlukan suntikan baru pemerintahan yang berprinsipkan Islam bagi memberikan nafas baru kepada pelaksanaan DEB yang akan digantikan dengan Dasar Ekonomi Negara Berkebajikan.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali (gambar) berkata, titah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dalam Seminar Wakaf baru-baru ini berhubung DEB yang bermasalah di peringkat pelaksanaannya, wajar diambil serius oleh seluruh rakyat Malaysia.

Menurutnya, kecurangan tersebut berlaku apabila sesebuah pemerintahan hanya mementingkan unsur kebijaksanaan pentadbiran semata-mata tanpa melihat kepentingan unsur amanah dalam pentadbiran.

Katanya, kejadian itu sebenarnya adalah rentetan daripada dasar beragama yang tidak menjadi kriteria utama dalam pemilihan pengurusan dan pemerintahan.

"Dasar Ekonomi Negara Berkebajikan sememangnya boleh menjadi alternatif kepada Dasar Ekonomi Baru yang gagal mencapai sasarannya kerana dipacu oleh mereka yang kurang amanah dan ketelusan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di ibu negara, semalam.

Kegagalan DEB sememangnya sudah tidak dapat disembunyikan lagi oleh para pemimpin Umno dan BN kerana ia turut menarik perhatian Raja Dr Nazrin Shah ketika bertitah pada Seminar Wakaf baru-baru ini.

Sebelum ini, pakar-pakar ekonomi di tanah air turut menyuarakan kekesalan mereka berhubung kegagalan DEB yang telah dikesan berpunca dari sikap tidak bertanggungjawab para pemimpin Umno sendiri terhadap rakyat terutama bagi orang-orang Melayu.

Menurut Khairuddin, Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS menekankan kepentingan kerajaan beramanah berpaksikan keadilan dan ihsan dengan berprinsipkan al-Quran dan Sunnah.

"Hal inilah yang gagal diterapkan oleh Barisan Nasional sepanjang 55 tahun memerintah sehingga menyebabkan kegagalan DEB dan turut mencetuskan pelbagai kepincangan dalam sistem pentadbiran negara," tegasnya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mohd Khairuddin At-Takiri menambah, amanah adalah salah satu dari dua asas utama kepada pemerintahan seperti yang digarap oleh al-Quran menerusi kisah Nabi Yusof dalam surah Yusof ayat 55 yang bermaksud: "Jadikan saya penjaga khazanah bumi kerana saya seorang pemegang amanah (Hafiiz) lagi berilmu".

Begitu juga dengan kisah Nabi Allah Musa dalam surah al-Qasas ayat 26 dan kisah Jin dengan Nabi Allah Sulaiman dalam surah al-Naml ayat 39.

"Justeru, rakyat diseru memberikan mandat kepada PAS yang menjanjikan kerajaan beramanah bersendikan agama bersama Pakatan Rakyat untuk menjadi kerajaan alternatif pada PRU Ke-13 akan datang," ujar beliau.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.