Header Ads

Kekalkan kuatkuasa SBPA 1 Januari dengan dibayar tunggakan – Cuepacs


PRESIDEN Cuepacs, Omar Osman kelihatan bersalam dengan Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Perjumpaan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, kelmarin.
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu tarikh kuat kuasa Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dikekalkan pada 1 Jan lepas, dan tunggakan gaji dibayar kepada semua penjawat awam dari tarikh itu.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata permintaan itu adalah wajar memandangkan kerajaan sebelum ini menetapkan tarikh kuat kuasa SBPA bermula 1 Jan tetapi pelaksanaan sahaja ditangguhkan berikutan semakan semula beberapa perkara dalam skim baru itu.

“Jadi permintaan Cuepacs ialah supaya tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Jan itu dikekalkan. Itu yang kita mahu.

“Ia juga adalah satu perbincangan sewaktu saya bertemu dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tempoh hari. Jadi kekalkan tarikh kuat kuasa itu, tangguh pelaksanaan, semak semula dan sehingga dapat penyelesaian dalam tempoh tiga bulan,” katanya kepada pemberita di Putrajaya, kelmarin.

Beliau yakin lima tuntutan Cuepacs dapat diterima selepas pembentangan kertas cadangannya kepada pasukan petugas khas semakan semula SBPA pada mesyuarat ketiganya yang dijadualkan Rabu ini.

Lima tuntutan

Lima tuntutan Cuepacs ialah:

1. Mengkaji semula prinsip pemindahan gaji penjawat Gred 54 ke bawah.
2. Mengekalkan status kekananan penjawat dalam Skim Saraan Malaysia (SSM).
3. Mengkaji semula tangga gaji maksimum.
4. Menyenaraikan penjawat yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus.
5. Menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.

Omar berkata satu perhimpunan besar membabitkan penjawat awam dari semua gred akan diadakan pada akhir bulan depan bagi memberi penerangan secara terperinci mengenai intipati SBPA.

Terdahulu beliau bersama anggota Kelab Umno Pesara (Kumpulan Pelaksana) kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) mengunjungi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Sumber: Freemalaysiatoday.com
Dikuasakan oleh Blogger.