Header Ads

Kelayakan Piala Thomas: Malaysia kalahkan Korea Selatan 3-1, temu India di suku akhir

LALUAN skuad Malaysia pada peringkat suku akhir pusingan kelayakan Piala Thomas di Macau, esok tampak mudah kerana akan menentang pasukan India.

Malaysia muncul juara Kumpulan D selepas menumpaskan Korea Selatan 3-1 pada aksi terkakhir kumpulan, sekali gus melepasi halangan utama sekiranya terpaksa bertemu Indonesia.

Mata ketiga negara diperoleh menerusi gandingan Lim Khim Wah-Goh V Shem yang mengejutkan pasangan Korea Lee Yong Dae-Shin Baek Choel, 18-21, 21-19, 21-11.

Sebelum itu, kem Piala Thomas negara sedikit cemas, apabila perseorangan kedua negara Muhammad Hafiz Hashim kandas, sekali gus gagal menambah mata ketiga pada pertemuan menentang Korea menjadikan kedudukan 2-1.

Hafiz yang bertemu Shon Wan Ho, tewas 22-24, 16-21.

Sementara itu, mata kedua negara diperoleh menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong setelah mengetepikan Yoo Yeon Seong-Ko Sung Hyun, 21-14,21-19.

Skuad Piala Thomas mendahului Korea dengan mata pertama yang diperoleh menerusi pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei.

Mengambil masa selama 43 minit, jaguh badminton negara itu menewaskan Lee Hyun Il 21-13, 21-15.
Dikuasakan oleh Blogger.