Header Ads

Lapan exco angkat sumpah pelantikan semula

ALOR SETAR: Lapan anggota exco kerajaan negeri hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di sini.

Lapan exco itu ialah Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib, Lim Soo Nee, Abd Ghani Ahmad, Tan Joon Long @ Tan Chow Kang, Datuk Siti Ashah Ghazali dan S. Manikumar, yang masing-masing menerima tawaran pelantikan semula.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebelum ini mengumumkan hanya lapan exco akan mengangkat sumpah jawatan bagi sesi 2012 walaupun lazimnya exco kerajaan negeri dibarisi 10 anggota.

Dua exco sedia ada yang tidak termasuk dalam senarai mengangkat sumpah sumpah hari ini ialah Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah tiga lagi anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah iaitu Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Kedah merupakan satu-satunya negeri dengan jawatan pengerusi jawatankuasa peringkat negeri (exco) perlu diperbaharui setiap tahun.

Sebelum ini, Phahrolrazi dan Dr Ismail telah menghantar surat kepada Azizan bagi menyatakan keengganan mereka dilantik semula ke jawatan itu.

Perubahan portfolio

Senarai exco yang dikeluarkan selepas majlis itu menyaksikan beberapa perubahan portfolio dengan Amiruddin kini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga, Industri dan Pelaburan, manakala Dr

Hamdan pula Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Turut berubah ialah Ghani yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan.

Taulan kekal selaku Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, manakala Siti Aishah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat.

Manikumar dilantik semula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam.

Lim dilantik semula memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia manakala jawatan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan kekal disandang Tan.

Sementara itu, portfolio Azizan turut kekal iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Keselamatan Negeri, Kewangan dan syarikat Milik Kerajaan Negeri.

Sumber: Bernama.com
Dipetik dari: Freemalaysiatoday.com
Dikuasakan oleh Blogger.