Header Ads

LTdL 2012: Anuar sasar Jersi Hijau di Terengganu

PELUMBA negara Anuar Manan berazam mahu merebut gelaran Raja Pecut (Jersi Hijau) serta memenangi salah satu daripada 10 peringkat perlumbaan pada saingan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, yang membuka tirainya esok.

Pada edisi ke-17 LtdL tahun ini, pelumba berusia 25 tahun dari Kuala Ibai, Terengganu itu, akan mewakili pasukan Champion System yang berpangkalan di Hong
Kong.

Selain Anuar, turut sama dalam pasukan itu ialah pemenang pingat perak kategori bawah 23 tahun Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012 di sini minggu lepas, Adiq Hussainie Othman.

"Buat masa sekarang, saya berada dalam tahap kecergasan yang tinggi. Saya mempunyai pasukan yang bagus dan saya akan gunakan peluang ini untuk mencipta
kejayaan.

"Saya sasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu peringkat perlumbaan dan kalau boleh saya mahu meraih Jersi Hijau (Raja Pecut)," katanya ketika ditemui pada majlis pengenalan pasukan yang bertanding pada LTdL ke-17 di Dataran Merdeka, di ibu negara hari ini.

Anuar berkata beliau mahu memenangi perlumbaan peringkat yang diadakan di negeri kelahirannya di Terengganu.

"Untuk memenangi perlumbaan peringkat, saya akan tengok dahulu mana laluan landai yang boleh memberi peluang kepada saya. Bagaimanapun, yang paling penting ialah menang di Terengganu kerana ramai peminat mengharapkan saya menang di negeri kelahiran saya," katanya.

Bagi peringkat pertama ujian masa di Putrajaya esok. Anuar mengharapkan dirinya dapat melakukan catatan terbaik dan tidak berada jauh daripada
pendahulu.

"Kalau boleh saya tidak mahu jurang perbezaan masa terlalu besar dengan pendahulu. Acara ujian masa individu ini bukanlah sasaran saya kerana saya
bukanlah pakar dalam acara ini," katanya.

Pada edisi LTdL tahun lepas, Anuar hampir meraih kejuaraan peringkat selepas meraih tempat ketiga pada peringkat kedua dan dua kali meraih
tempat kedua pada perlumbaan peringkat ketiga dan keenam.

Beliau menamatkan saingan LTdL 2011 selaku pelumba ketiga terbaik keseluruhan di belakang pelumba Itali, Andrea Guardini.

Sumber: Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.