Header Ads

Martabat kesucian Islam: Najib mahu umat Islam negara ini pilih PAS

WarkahDaily – Akhirnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semakin pandai dan dapat membezakan mana parti yang ikhlas memperjuangkan kesucian agama Islam dan mana parti yang mengkhianati amanah terhadap agama Islam di negara ini.

Najib (gambar kanan) dalam satu kenyataan sewaktu berucap di majlis Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaaan di Kuala Lumpur, kelmarin telah meminta umat Islam di negara ini supaya memilih pemimpin dan parti politik yang benar-benar dapat memartabat dan menjamin kesucian agama Islam.

Jadi bersesuaianlah dengan ucapan Perdana Menteri itu dengan apa yang diperjuangkan PAS yang dilihat betul-betul ikhlas mahu memartabatkan Islam di negara ini, berbeza dengan Umno-BN yang dipimpin sendiri oleh Najib yang sentiasa memperlekeh Islam dan telah meminggirkan Islam.

Dipetik dari Harakahdaily, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri itu kerana umat Islam di negara ini perlu memilih pemimpin dari PAS untuk memerintah negara ini dengan lebih amanah dan adil.

Menurut ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan, gambaran pemimpin yang dinyatakan oleh Najib boleh didapati di dalam PAS.

“Pemimpin yang dinyatakan tersebut hanyalah boleh didapati di dalam PAS dan bukan daripada kalangan pemimpin Umno,” jelas Hasbullah mengulas kenyataan Najib itu.

Hasbullah (gambar kiri) berkata lagi, Pemuda PAS Selangor merasakan bahawa pimpinan PAS adalah pemimpin yang selayaknya diberikan amanah untuk menjaga kesucian agama Islam dan memartabatkan hukum Islam di dalam negara ini.

Menurutnya, rakyat telah melihat selama 50 tahun lebih Umno diberikan kuasa pemerintahan di dalam negara ini agama Islam telah menjadi semakin terpinggir dan menjadi cacian oleh segelintir orang Islam dan bukan Islam.

Tambahnya, undang-undang dan hukum Islam jangan haraplah akan dilaksanakan oleh pemimpin Umno kerana merekalah penentang kuat terhadap undang-undang sebegini.

Pimpinan PAS, ujarnya telah menunjukkan contoh teladan pentadbiran yang berlandaskan tuntutan agama Islam di negeri Kelantan Darul Naim selama lebih kurang 20 tahun lebih sejak tahun 1990 an.

“Pentadbiran negeri Kelantan yang ditadbir oleh pemimpin PAS telah diiktiraf sebagai negeri yang mempunyai urustadbir yang baik, telus, berhemah dan tidak rasuah oleh Lembaga Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lain-lain jabatan kerajaan pusat lagi.

“Kini jejak negeri Kelantan diikuti oleh negeri Kedah Darul Aman yang juga dipimpin oleh pimpinan PAS,” ujarnya.

Oleh itu, katanya Pemuda PAS Selangor menggesa rakyat sekalian untuk memberikan sepenuh kepercayaan dan undi di dalam pilihan raya umum akan datang kepada pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat yang telah terbukti dapat menjaga agama Islam dan kebajikan rakyat seperti yang telah ditunjukkan di negeri Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.
Dikuasakan oleh Blogger.