Header Ads

Maybank catat keuntungan RM3.56 bilion


ABDUL WAHID (kiri) dan Megat Zaharuddin pada sidang akhbar mengumumkan keputusan kewangan Maybank di Kuala Lumpur semalam. | foto Kosmo!
Maybank mengumumkan pertumbuhan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak 20 peratus kepada RM2.58 bilion bagi tempoh enam bulan perniagaan berakhir 31 Disember 2011.

Dalam tempoh yang sama, kumpulan perbankan tersebut turut mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai sebanyak 20.1 peratus kepada RM3.56 bilion sehubungan peralihan tahun kewangan berakhir Maybank dari 30 Jun kepada 31 Disember.

Keputusan tersebut dicapai dengan pertumbuhan pendapatan sebanyak dua digit dalam semua perniagaan teras Maybank, disokong pertumbuhan pinjaman berterusan selain penurunan kerugian daripada pinjaman.

Pinjaman kasar Maybank meningkat sebanyak 16.2 peratus disumbangkan oleh pertumbuhan domestik sebanyak 10 peratus dan pertumbuhan pinjaman luar negara sebanyak 28.7 peratus. Pembiayaan Islam pula meningkat sebanyak 21 peratus.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor berkata, kejayaan tersebut yang berjaya dicapai dalam suasana ekonomi sekarang menunjukkan kakitangan Maybank kini lebih efisien dan telah menyesuaikan diri dengan inisiatif serta transformasi yang dilaksanakan pihak pengurusan.

“Saya yakin Maybank mampu mencari peluang pertumbuhan dalam suasana ketidaktentuan ekonomi yang menyelubungi kita sekarang,” katanya pada majlis pengumuman keputusan kewangan Maybank di sini semalam.

Sumber: Kosmo.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.