Header Ads

NFC: Kenyataan Nazri bukti dakwaan Pakatan benar

Kenyataan terbuka Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa National Feedlot Corporation (NFCorp) melanggar syarat perjanjian pinjaman dengan Kerajaan Persekutuan membuktikan dakwaan Pakatan Rakyat sebelum ini benar.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) berkata, Nazri selaku menteri yang memegang portfolio undang-undang harus menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan proses siasatan dan mengambil tindakan segera terhadap pihak yang terlibat.

"Kita tidak faham kenapa Datuk Seri Nazri Aziz yang bertangungjawab ke atas SPRM sudah membuat pengumuman terbuka tapi SPRM masih belum mengambil apa-apa tindakan.

"PAS desak Nazri mengarahkan SPRM untuk segera ambil tindakan kerana ini melibatkan wang rakyat," katanya kepada Harakahdaily semalam.

Nazri semalam mengakui telah berlaku kes pecah amanah apabila duit yang seharusnya digunakan untuk tujuan penternakan lembu telah digunakan untuk tujuan lain oleh NFCorp.

PAS sebelum ini meragui penjelasan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) bahawa kontrak bagi pinjaman mudah RM250 juta yang diterima daripada kerajaan ditandatangani pada 2007.

NFC mempertikai dakwaan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bahawa syarikat itu menerima sejumlah wang sebelum kontrak dimeterai.

Sehubungan itu, Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, Suruhanjaya Diraja harus ditubuhkan bagi menyiasat NFC selain siasatan oleh SPRM.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar semalam meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan mengenai dakwaan perjanjian melibatkan pinjaman RM250 juta antara Kementerian Kewangan dan NFCorp tidak disediakan oleh pejabat Peguam Negara.

Beliau meminta Najib menyatakan pihak mana yang menyediakan perjanjian itu jika benar ia tidak disediakan oleh Peguam Negara.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.