Header Ads

Pecat: Bekas felo akademik saman Unisza

Seorang bekas Felo Akademik Univesiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) yang telah dipecat kerana menghantar ‘email’ kepada Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Institusi tersebut telah memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Isnin, 20 Februari.

Menurut Wan Mohd Azziadi Wan Abd Jalil, 29, (gambar) beliau ditawarkan jawatan sebagai Felo Akademik di bawah Skim Latihan Pegawai Akademik Universiti pada 24 Disember 2009.

Walaupun beliau merupakan Felo Akademik yang bertanggungjawab menyambung pelajaran sahaja, namun telah diminta oleh Unisza mengendalikan kuliah pelajar Diploma bagi subjek Investment dan Islamic Financial Institution and Market bagi semester 1 sesi 2010/2011.

Pada 11 September 2011, Dekan Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan, Prof. Madya Dr. Ahmad Shukri Yazid atas arahan Naib Canselor Profesor Alias Daud, telah memaklumkan kepadanya, bahawa jawatan felo dan tugas mengajar beliau telah ditarik balik.

“Alasan lisan yang telah dimaklumkan kepada saya mengenai penarikan balik tugas pengendalian kuliah berkenaan adalah disebabkan oleh satu email berbentuk cadangan dari saya kepada Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bertarikh 6 September 2011.

“Dalam email tersebut antara lain saya mencadangkan kepada pihak HEPA agar mengawasi tentang hal pemakaian dan pergaulan para pelajar Unisza,” ujarnya ketika ditemui

Selepas itu, katanya, melalui peguamnya beliau telah menghantar satu surat pada 27 Oktober 2011 memohon penjelasan daripada pihak universiti terbabit.

Namun katanya, Pihak Unisza pada 6 Disember 2011, telah menghantar notis Penamatan Jawatan Felo Akademik bertarikh 06.12.2011 yang telah ditandatangani sendiri oleh Pendaftar Unisza, Prof. Madya Dr. Nik Wan bin Omar.

Oleh itu, Wan Mohd Azziadi merasakan tindakan Unisza memecatnya adalah satu tindakan yang tidak munasabah.

“Saya rasa teraniya, dan ada unsur-unsur penyalahgunaan kuasa, tindakan berlebihan, tidak munasabah,

“ia satu tindakan yang zalim, berniat jahat, hasad dengki dan tidak berperi kemanusian serta sesuka hati,” jelasnya.

Justeru, beliau memohon kepada mahkamah untuk membuat dan mengeluarkan perintah satu pengisytiharan bahawa notis penamatan ke atasnya adalah tidak sah dan terbatal.

Beliau juga menuntut supaya dilantik semula sebagai pensyarah kontrak. dan menuntut pihak Unisza membayar gaji ke belakang (back wages) bermula pada 23 Ogos 2011 iaitu tarikh sepatutnya beliau dilantik sebagai pensyarah kontrak.

Beliau turut menuntut ganti rugi teladan (exemplary damages) dari pihak Unisza atas tindakan yang di luar kesusilaan undang-undang.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.