Header Ads

Pemandu teksi ditahan kerana disyaki menyamun dan merogol 10 penumpang

BANGKOK: Seorang pemandu teksi ditahan di bandar raya ini kerana disyaki menyamun dan merogol sekurang-kurangnya 10 penumpang, kata Timbalan Ketua Biro Polis Metropolitan, Saroj Phromcharoen, semalam.

Polis Jumaat lalu menerima aduan daripada sepasang suami isteri yang mengupah Kaew Sangmuang, pemandu teksi berusia 43 tahun itu untuk membawa barangan mereka, termasuk komputer riba ke kondominium di daerah Ratchathewi pada hari itu, kata Phromcharoen.

Pasangan itu berkata, selepas tiba di kondominium itu, pemandu teksi terbabit memberitahu dia telah membawa semua barangan. Selepas teksi itu beredar, pasangan berkenaan mendapati komputer riba mereka hilang.

Sangmuang kemudian menelefon pasangan itu dan menuntut 6,000 baht (RM589) jika mereka mahu komputer itu dipulangkan. Mereka bersetuju untuk berjumpa di pusat beli-belah di Lad Prao pada Isnin (semalam). Pasangan itu kemudian membuat laporan polis dan Sangmuang ditahan di pusat beli-belah itu, semalam.

Menurut polis, mereka turut menemui sembilan kad pengenalan, dua buku bank dan dokumen lain milik tiga individu serta tiga surat pajak gadai, dua kad ATM dan 22 kad SIM di dalam teksi suspek. Sangmuang juga mengakui dia menggunakan pisau untuk mengancam penumpang dan sudah memperkosa sekurang-kurangnya 10 penumpang wanita. Dia juga memaksa mangsa mengeluarkan wang dari mesin ATM sebelum menyamun wang berkenaan dan melarikan diri.

Phromcharoen berkata, pemandu teksi itu mengakui dia memperdaya penumpang wanita supaya melakukan hubungan seks dengannya. Dia akan mendapatkan kepercayaan mereka dengan memberikan mereka kad ATM yang dicuri daripada mangsa sebelumnya. Kemudian, apabila wanita berkenaan pergi ke mesin ATM untuk mengeluarkan wang, dia akan melarikan barang dan wang penumpang itu.

Sumber: Bangkok Post
Dipetik: HMetro.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.