Header Ads

Pensyarah minta habuan wang dan seks dari pelajar tapi tak berleluasa, kata menteri

Isu pensyarah meminta habuan wang ringgit dan seks dari pelajarnya yang mahu lulus dalam peperiksaan tidak berlaku secara berleluasa di kalangan tenaga pengajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, sebaliknya kes seperti itu adalah terpencil dan kadang-kala tidak kedengaran langsung.

"Kalau di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kita ada lebih 28,000 pensyarah, jadi kes-kes begini jarang dan tidak kedengaran dan kalau ada berlaku pun tidak secara berleluasa.

"Soal-soal seperti kita tidak tahu, kerana sama ada seseorang pensyarah itu akan melakukannya (meminta habuan) ia bukan bergantung kepada tahap kesarjanaannya, kerana kalau dia mahu lakukan, dia lakukan juga," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pelajar-pelajar yang menyertai program Duta Universiti di bawah Strategi Laut Biru Negara, Kementerian Pengajian Tinggi, di Bandar Baru Enstek, di Nilai, semalam.

Mohamed Khaled bagaimana pun menasihatkan pelajar supaya membuat aduan kepada universiti dan pihak berkuasa sekiranya diminta memberi sebarang bentuk habuan oleh pensyarah mereka, sebelum diluluskan dalam peperiksaan.

Katanya, perkara sebegitu bukan sahaja salah dan mencemar integriti seseorang pensyarah tetapi juga memberi kesan terhadap sistem peperiksaan yang bertujuan menguji kefahaman pelajar.

"Jika peperiksaan tidak dilakukan secara jujur dan ikhlas maka pelajar yang mungkin tidak sampai tahap, akan diberi kelulusan jadi rugi bagi kita jika perkara ini berlaku," katanya.

Terdahulu, mengulas mengenai program Duta Universiti, Mohamed Khaled berkata ia bertujuan melatih pelajar IPTA sebagai "duta" atau ejen perantaraan dan perubahan kerajaan bagi mengukuh kesedaran masyarakat tentang pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan seperti kemudahan pinjaman.

Katanya, selain didedahkan dengan aspek kepimpinan dan keyakinan diri, pelajar juga akan menjadi sebagai pakar rujuk oleh komuniti setempat terutama dalam isu-isu semasa berkaitan sosial, pendidikan, ekonomi dan teknologi.

Seramai 66 pelajar dari enam buah IPTA dilantik sebagai "duta" di bawah program tersebut telah melalui beberapa siri bengkel latihan bersama komuniti setempat dan akan membuat cadangan pelan tindakan kepada agensi kerajaan berkaitan bagi meningkatkan tahap ekonomi masyarakat di situ. -Bernama

Sumber: mStar.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.