Header Ads

Piala Thomas: BAM tawar Zulfadli jalani latihan pusat


Zulfadli bersama piala yang dimenangi dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Taiwan pada tahun lepas.
Juara badminton remaja dunia Zulfadli Zulkifli ditawar menjalani latihan pusat Piala Thomas di Stadium Juara, Bukit Kiara mulai 5 Mac ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata, selain Zulfadli, bekas juara All England 2003 Muhammad Hafiz Hashim turut disenarai bagi menjalani latihan sehingga penghujung April depan, iaitu sebelum senarai akhir skuad Piala Thomas diputuskan.

"Kami akan menjemputnya (Zulfadli) dan dia akan dilatih oleh BAM. BAM ialah sebuah badan yang melihat bakat seseorang pemain. Kami berhak melatih mereka dalam program kami.

"Bagi pemilihan pasukan Thomas Cup untuk pusingan akhir, pemain terbaik negara sama ada di bawah BAM atau bebas, akan dipertimbangkan," katanya pada sidang akhbar seleps mempengerusikan mesyuarat Majlis BAM hari ini.

Perlawanan akhir Piala Thomas akan diadakan di Wuhan, China dari 20 hingga 27 Mei depan.

Tahun lepas, Zulfadli mencipta sejarah dengan menjuarai acara perseorangan Kejohanan Remaja Dunia di Taiwan serta Kejohanan Remaja Asia di India.

Sementara itu, Mohd Nadzmi turut mengumumkan senarai pemain berpasukan lelaki bagi kumpulan A dan B pada Kejohanan Piala Axiata, yang bermula 23 Mac ini di dua veneu serentak di Malaysia dan Indonesia.

Kumpulan A terdiri daripada pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei, Muhammad Hafiz, Liew Daren, Mohammad Arif Abdul Latif, beregu Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan Goh V Shem/Lim Khim Wah.
Kumpulan B terdiri daripada pemain bawah 21 tahun terbaik negara iaitu Zulfadli, Iskandar Zulkarnain, Misbun Ramadhan, Loh Wei Sheng, beregu Ow Yao Han/Chooi Kah Ming dan Teo Eei Ying/Nelson Heg.

Kejohanan Badminton Piala Axiata yang dianjurkan buat pertama kalinya oleh Axiata Group Berhad itu, khusus untuk pemain lelaki dengan taruhan hadiah wang tunai AS$1 juta (RM3.03 juta).

Pemain Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam dan Filipina akan dibahagikan kepada lapan kumpulan untuk berentap selama empat minggu, mengikut format berpasukan lelaki.

Mohd Nadzmi berkata senarai pemain kumpulan B turut ditawar mengikuti projek khas BAM bagi menghadapi Kejohanan Piala Thomas 2016 dan Sukan Olimpik 2016.

Sumber: Bernama.com
Dikuasakan oleh Blogger.