Header Ads

Restoran di Indonesia dakwa pegang hak cipta perkataan ‘kopitiam’

Jakarta: Percaya atau tidak, seorang pemilik restoran di sini mendakwa beliau memegang hak cipta perkataan "kopitiam" -- perkataan Cina bermaksud kedai kopi -- dan keputusan mahkamah Indonesia memihak kepadanya.

Akhbar berbahasa Inggeris Jakarta Post pada Isnin, menyiarkan laporan bahawa pada 2010 Abdul Alek Soelystio yang memiliki restoran "Kopitiam" di sini, memfailkan saman terhadap "Kok Tong Kopitiam" yang berpangkalan di Medan, kerana menggunakan perkataan "kopitiam".

Dalam samannya itu, Abdul Said berkata beliau mendaftarkan perkataan kopitiam sebagai harta inteleknya pada 1996 dan keputusan Mahkamah Pemerintahan Medan memihak kepadanya.

Paimin Halim yang memiliki Kok Tong Kopitiam membuat rayuan di Mahkamah Agung tahun lepas, namun institusi itu mengekalkan keputusan mahkamah rendahterbabit.

Laporan itu juga menyebut pada 6 Feb, Abdul menyiarkan iklan menerusi sebuah akhbar nasional memberi amaran kepada pemilik restoran lain agar menggugurkan perkataan kopitiam daripada identiti mereka.

Peguam Abdul berkata, sesiapa sahaja yang menggunakan perkataan kopitiam boleh didakwa kerana cetak rompak.

Undang-undang Harta Intelek memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun bagi mereka yang disabitkan kesalahan, namun daripada segi amalan pelaku jarang dihukum penjara melebihi tempoh beberapa bulan.

Presiden Persatuan Kopitiam Indonesia Mulyadi Praminta menyifatkan keputusanyang memihak kepada Abdul itu sebagai mengarut.

"Ada satu kes hampir sama di Singapura. Sebuah syarikat cuba menjadikan kopitiam sebagai hak miliknya, tetapi kerajaan Singapura menolak permohonan itu.

"Adalah amat mengejutkan berlaku situasi sebaliknya di sini," katanya.

Mulyadi berkata, kerajaan sepatutnya menyokong industri restoran, bukan memberi layanan istimewa untuk pihak tertentu.

"Industri tempatan berhak mendapat sokongan daripada kerajaan. Kami menggaji ramai pekerja, menggunakan produk tempatan termasuk biji kopi," katanya.

Sementara itu, pemilik rangkaian Kopitiam Oey dan pakar makanan terkenal Indonesia, Bondan Winarno berkata tidak seorang pun wajar dibenarkan memiliki hak cipta perkataan kopitiam.

Katanya, kopitiam menawarkan pilihan tempatan yang mampu menyaingi kedai kopiantarabangsa di Indonesia.

"Kopitiam bukan ciptaan kita. Nama kopitiam bukan milik kita tetapi milik generasi sebelum kita. Ini bukan jenama tetapi satu pengenalan budaya kulinari serta asimilasi sosial," katanya.

Sumber: Bernama.com
Dipetik: mStar.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.