Header Ads

Skuad Piala Thomas mara selepas tewaskan India 3-0, skuad Piala Uber tersingkir

MACAU: Skuad lelaki negara menutup mulut pengkritik apabila berjaya layak ke pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2012 di Wuhan, China Mei depan.

Sebelum ini, banyak pihak menjangkakan skuad negara akan gagal melangkah ke pusingan akhir berdasarkan persiapan yang dibuat bagi menghadapi kempen kelayakan kali ini.

Bagaimanapun, barisan pemain negara membuktikan sebaliknya apabila mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas India pada aksi suku akhir kempen kelayakan semalam sekali gus mengesahkan slot ke pusingan akhir.

Pada aksi suku akhir semalam, jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei menghadiahkan mata pertama buat skuad negara apabila menumbangkan Ajay Jayaram 21-12, 17-21, 21-8 sebelum beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjelmakan mata kedua hasil kemenangan ke atas Rupesh Kumar-Sanave Thomas 21-14, 23-21.

Pemain perseorangan kedua, Muhamad Hafiz Hashim yang gagal dalam dua perlawanan peringkat kumpulan melengkapkan kemenangan skuad negara apabila menewaskan Kashyap Parupali 21-17, 18-21, 21-11.

“Saya akui memang saya gagal menyumbangkan mata buat skuad negara dalam dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini tetapi saya berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang sentiasa memberikan semangat kepada saya.

“Hari ini (semalam) saya berjaya juga menyumbangkan mata sekali gus membawa skuad negara ke pusingan akhir. Saya memang gembira,” kata Hafiz sejurus tamat perlawanan semalam.

Pada aksi separuh akhir hari ini, skuad negara bakal berdepan Jepun yang mara selepas menewaskan Taiwan 3-0 dalam satu lagi pertemuan suku akhir semalam.

Berdepan Jepun, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Tan Kim Her berkemungkinan akan menyenaraikan beregu simpanan, Hoon Thien How-Teo Kok Siang sebagai beregu kedua.

Beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong berkemungkinan akan direhatkan sementara gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah akan mengambil alih tugas selaku beregu pertama.

“Sebelum kempen kelayakan bermula lagi saya ada mengatakan yang saya berkemungkinan akan memecahkan gandingan beregu sedia ada. Jadi, pertemuan dengan Jepun adalah medan terbaik untuk saya melakukannya.

“Lagipun, kita sudah layak ke pusingan akhir dan adalah baik sekiranya saya menurunkan Thien How-Kok Siang untuk beraksi. Saya mahu semua pemain dapat beraksi untuk merasai suasanan kejohanan itu sendiri,” kata Kim Her.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek masih belum membuat keputusan mengenai barisan pemain yang menggalas tugas dalam acara perseorangan pada pertemuan menentang Jepun hari ini. -Kosmo!

Kelayakan Piala Thomas/Uber Zon Asia 2012, Macau

Jadual perlawanan separuh akhir esok

Piala Uber

China mln Taiwan

Jepun mln Thailand

Piala Thomas

MALAYSIA mln Jepun



Keputusan suku akhir

Piala Uber

MALAYSIA (0) – (3) Thailand

Taiwan (3) – (1) Hong Kong

Singapura (0) – (3) Jepun

China (3) – (0) Indonesia

Piala Thomas

MALAYSIA (3) – (0) India

China (3) – (0) Thailand

Taiwan (0) – (3) Jepun



Keputusan aksi skuad negara

Piala Uber

Tee Jing Yi kk Inthanon Ratchanok, 8-21,7-21

Lydia Cheah Li Yak k Porntip Buranaprasertsuk, 19-21,13-21

Yang Li Lian kk Sapsiree taerattanachai, 12-21, 10-21

Piala Thomas

Lee Chong Wei mn Ajay Jayaram, 21-12,17-21,21-8

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mn Rupesh Kumar KT-sanave Thomas, 21-14, 23-21

Hafiz Hashim mn Kashyap Parupalli, 21-17, 18-21, 21-11
Dikuasakan oleh Blogger.