Header Ads

125 keluarga mangsa banjir terima RM1,000 dari Adun PR

Sebanyak 125 keluarga mangsa banjir di Kampung Melayu, lega apabila masing-masing menerima bantuan RM1,000 yang disampaikan melalui pe­runtukan­ Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali.

Azmin berkata, bantuan keseluruhan berjumlah RM125,000 itu merupakan bantuan tambahan dari pihak Adun sendiri bagi mengurangkan beban keluarga mangsa setelah mengalami musibah banjir lumpur yang teruk, minggu lalu.

“Setelah apa yang dialami penduduk, Kerajaan Negeri sangat bersimpati dengan mangsa banjir dan berharap dengan bantuan tambahan ini dapat meringankan beban mereka,” katanya pada Majlis Sumbangan Bantuan Mangsa Banjir Kampung Melayu di Dewan Sri Tanjung, Kampung Melayu, Ampang.

Hadir sama, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin.

Peruntukan yang disampaikan itu adalah susulan bantuan yang diberikan sebelum ini melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM600 setiap keluarga.

Mengulas kejadian banjir di Kampung Melayu minggu lalu, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, sistem perparitan dan sungai dalam kawasan Ampang tidak dapat menampung taburan hujan yang tinggi sehingga menyebabkan banjir berlaku.

Menurutnya, melalui maklum balas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), jumlah taburan hujan yang turun adalah dua kali ganda dari biasa iaitu 80 milimeter (mm) kepada 165 mm.

“Bagi mengelak perkara ini berulang, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta JPS dan agensi berkaitan merawat dan mendalamkan sungai dengan segera.

“Pada masa yang sama, MPAJ juga telah mengambil langkah membaik pulih tembok yang pecah dan membina semula tebing sungai yang rosak,” katanya.

Beliau turut difahamkan, bahawa jambatan utama di Kampung Melayu yang rosak akibat banjir masih kukuh dan selamat, namun kerja-kerja penurapan semula sedang dijalankan.

“Semua langkah-langkah jangka pendek dan panjang telah dikenal pasti agar banjir tidak berulang lagi di Kampung Melayu dan sekitar Ampang,” katanya.

Sumber: Sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.