Header Ads

38 orang angka korban puting beliung di Amerika


SUKARELAWAN membantu membersihkan sisa runtuhan di Harrison, Tennessee.
CHICAGO: Penduduk di sekitar negeri di barat tengah Amerika Syarikat meratapi kematian ahli keluarga dan sahabat handai, semalam selepas beberapa siri puting beliung melanda kawasan tengah negara itu, membunuh sekurang-kurangnya 38 orang, mencederakan ratusan yang lain dan melenyapkan seluruh komuniti.

Bagaimanapun, ujian lebih berat sedia menanti di kawasan berkenaan. Walaupun pemerhatian terhadap bencana puting beliung sudah dihentikan, badan ramalan kaji cuaca kebangsaan meramalkan keadaan cuaca sejuk dengan kemungkinan salji mungkin melanda kawasan itu.

Suhu dijangka menurun di bawah tahap beku malam ini, badan itu memberi amaran dengan kombinasi hujan dan salji serta salji sepenuhnya, perkembangan yang memberi cabaran kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

Presiden Barack Obama menghubungi pentadbiran tempatan di Indiana, Kentucky dan Ohio untuk mengucapkan takziah atas kematian penduduknya dan berkata, agensi pengurusan kecemasan persekutuan sedia memberikan bantuan, kata Rumah Putih. Kematian dilaporkan di Indiana, Kentucky, Ohio, Alabama dan Georgia apabila ribut bergerak ke arah timur negara itu.

“Tahap kemusnahan sesetengah komuniti kita tidak seperti yang saya pernah lihat sebelum ini,” kata Gabenor Kentucky, Steve Beshear, yang pejabatnya mengesahkan 19 angka korban daripada lebih puluhan puting beliung yang melanda negeri itu.

Beberapa trak terbalik dan deretan pokok tercabut sebaik puting beliung melanda sebahagian daripada lapan negeri di kawasan barat tengah dan selatan negara itu.

Imej kemusnahan itu termasuk sebuah bas sekolah yang menembusi tembok sebuah kediaman, trak yang tercampak ke dalam tasik, kediaman daripada binaan batu yang kukuh berkecai menjadi sisa runtuhan dan kediaman daripada kayu bersepai, selain kediaman bergerak rosak seperti tin kemek. Kira-kira 300 kecederaan dilaporkan di Kentucky, menurut Beshear yang menyiasat kerosakan di bandar yang musnah teruk di West Liberty.

Terdapat kerosakan di 40 daerah dengan bekalan elektrik ke puluhan ribu kediaman terputus. Satu rakaman video amatur yang ditayangkan CNN menunjukkan puting beliung gergasi kekelabuan melanda West Liberty Jumaat lalu, manakala seorang wanita berdoa dengan kuat “Wahai Tuhan, ambil ia daripada kami, ya Tuhan!”

Sumber: AFP
Dikuasakan oleh Blogger.