Header Ads

Ana Raffali teruja berbulan madu di Kelantan

Penyanyi Ana Raffali yang menamatkan zaman bujangnya baru-baru ini, gembira apabila hasratnya untuk berbulan madu bersama suaminya, Ahmad Aznaim Abdullah di negeri Cik Siti Wan Kembang menjadi kenyataan.

Lebih membahagiakan pasangan yang dinikahkan pada 25 Febuari lalu kini melayari saat-saat yang paling bermakna dalam hidup dengan melakukan perkara yang sangat diidamkan setelah berada di Kelantan.

Ana yang tidak lekang daripada senyuman itu memberitahu, dia sangat teruja dan seronok dapat menghabiskan masa bersama dengan insan tersayang di negeri ini selepas bergelar suami isteri.

“Saya bercuti selama dua minggu dan dengan peluang yang ada ini saya gunakan untuk melawat sanak saudara di Kelantan. Saya sangat gembira,” katanya ketika ditemui media pada Ahad lepas sempena majlis meraikan perkahwinannya di Kelantan Trade Center (KTC).

Ana Raffali yang masih dalam proses menyiapkan album barunya dengan mempertaruhkan single “Lisa Jatuh Cinta” itu juga sangat bertuah kerana dia dapat menunaikan keinginannya untuk menikmati keistimewaan masakan orang Kelantan.

“Sejak sampai di sini, pelbagai manakan tradisi orang Kelantan saya sudah makan, sedapnya menikmati hidangan nasi kerabu, nasi dagang, jeruk mame, solok lada dan banyak lagilah.

“Saya akui orang Kelantan sangat ramah dan pandai memasak,” katanya yang ayu menggayakan baju kurung berwarna gelap.

Ana yang mengakui masih dalam proses menyesuaikan diri dengan panggilan mesra terhadap suaminya itu kini melupakan seketika tentang kerjayanya kerana selepas habis cuti nanti dia sudah mempunyai jadual yang ketat termasuk memenuhi pelbagai undangan.

Sebagai tanda meraikan pasangan pengantin baru itu, pihak KTC menawarkan pakej berbulan madu di hotelnya selama empat hari dan turut diselitkan dengan beberapa aktiviti menarik untuk dinikmati sempena Tahun Melawat Kelantan 2012.

Ketua Pegawai Operasinya, Aziz Desa berkata, sempena kedatangan penyanyi berkenaan pihak hotel akan menamakan bilik tersebut sebagai Kamar Ana Raffali dan Naim.

Katanya, selain Ana Raffali pihaknya juga berhasrat untuk memberikan tawaran yang sama kepada penyanyi yang popular dengan lagu Bunga-bunga Cinta juga, Misya Omar bersama pasangannya dan juga Malek Noor.

Sumber: Sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.