Header Ads

Aziz Bari: Jawatankuasa Pemandu sebagai langkah terbaik dan tepat


Dr Aziz Bari
Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Prof Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan penubuhan Jawatankuasa Pemandu di Kedah sebagai langkah terbaik dan tepat.

Beliau yang juga pakar perlembagaan berkata, penubuhan itu juga tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukan undang-undang termasuk di peringkat negeri.

"Bagi saya penubuhan jawatankuasa pemandu ini adalah yang terbaik diputuskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat dan ia merupakan keputusan yang tepat.

"Malah ia tidak mempunyai apa-apa kesalahan dari sudut undang-undang sama ada diperingkat pusat mahupun negeri," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan PAS Pusat yang mahu menubuhkan Jawatankuasa Pemandu di Kedah sebagai badan penasihat kepada kerajaan negeri itu.

Menurut Abdul Aziz, dengan penubuhan itu juga secara langsung dapat menghasilkan sebuah pentadbiran kerajaan yang lebih baik.

Beliau turut menyatakan, Jawatankuasa Pemandu biasanya tidak bermaksud mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri malah jauh sekali ingin membuat keputusan.

Ia hanyalah sebagai bertindak sebagai pemantau sahaja bagi memastikan segala masalah yang timbul dalam pentadbiran negeri melibatkan anggota parti dapat diselesaikan.

"Saya berpendapat ia bertepatan dengan keadaan sekarang dalam usaha kita ingin menjadikan negeri di bawah Pakatan Rakyat ditadbir dengan baik.

"Malah penubuhan jawatankuasa Pemandu ini secara tidak langsung akan dapat menghasilkan sebuah pentadbiran yang lebih berkualiti jika dibandingkan dengan pemerintahan kerajaan sekarang," jelasnya sambil menyelar pihak yang mempertikaikannya.

Kuasa MB, Exco masih tertinggi

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, berdasarkan perlembagaan negeri itu, kuasa Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak terjejas dengan penubuhan jawatankuasa itu kerana mereka adalah kuasa eksekutif tertinggi dalam pentadbiran.

“Mana-mana negeri ikut perlembagaan negeri. Jawatan­kuasa Pemandu sekadar bagi pandangan tak kan pula tidak boleh bagi nasihat.

Memang perkara seperti itu tiada dalam perlembagaan Kedah, tetapi orang bagi nasihat, kita dengarlah,” katanya.

Azizan turut menyangkal dakwaan konon penubuhan jawatankuasa itu antara usaha mengehadkan kuasa Menteri Besar, sebaliknya menyifatkan ia sebagai sebuah badan penasihat.

“Saya sendiri pun belum dapat maklumat terperinci mengenai jawatankuasa itu. Macam mana nak komen, lebih baik tunggu ia diwujudkan dahulu, barulah tahu peranan dan ke mana perlu dirujuk,” katanya.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.