Header Ads

Bekalan air: Mustapa Mohamed berbohong lagi

Mungkin agak memalukan apabila seorang berjawatan menteri melemparkan tuduhan tak berasas dengan mendakwa ada tempat tiada bekalan air di bandar ini.

“Saya dimaklumkan peniaga di gerai Flat Buluh Kubu tidak mendapat bekalan air menyebabkan terpaksa menggunakan telaga boring,” kata Datuk Seri Mustapa Mohamed, seperti dilaporkan media baru-baru ini.

Sedangkan maklumat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menjelaskan sebanyak 327 akaun di Flat Buluh mendapat bekalan air yang mencukupi.

Pengurus Besarnya, Ir Mohamad Hanapi Mahmud berkata, jumlah penggunaan air di enam blok flat tersebut iaitu sebanyak 12,095 meter padu pada Febuari 2012.

“Flat Buluh Kubu ada enam blok bangunan dengan bilangan akaun sebanyak 327. Ini bermakna setiap akaun menggunakan sebanyak 37 m3 bagi tempoh tersebut.

“Malah paras air tangki bawah di blok ke-6 ialah 2.2 meter. Ini secara jelas menggambar air yang dibekalkan kepada pengguna di situ mencukupi bagi keperluan harian mereka,” katanya di Kota Bharu.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mendakwa ketiadaan bekalan air di Flat Buluh Kubu amat memalukan kerana ia terletak di tengah-tengah bandar.

Pada Febuari lalu Mustapa juga mendakwa pinjaman RM600 juta projek bekalan air yang dilulus kerajaan pusat tidak perlu dibayar balik, sedangkan AKSB sudah membayar pinjaman tersebut sejak 2008.

Ekoran kenyataan tersebut Pemuda PAS di Jeli membuat laporan polis terhadap pemimpin Umno terbabit kerana cuba membohongi rakyat Kelantan.

Hanapi juga berkata, tidak berbangkit sama sekali dakwaan Penasihat Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Datuk Ibrahim Ali kononnya berlaku penyelewengan dalam urus tadbir AKSB.

Katanya, dakwaan kononnya AKSB akan mengalami kerugian RM130 juta tidak berasaas kerana peruntukan tersebut merupakan projek air tidak berhasil (NRW) yang dijalankan sejak 2008.

“Peruntukan projek berkenaan dilulus kerajaan pusat melalui Kementerian Tenaga, Tekonologi Hijau dan Air bagi mengatasi NRW di Kelantan,” katanya.

Menurutnya projek tersebut termasuk menukar sebanyak 80,000 meter lama kepada meter pintar bagi memastikan ketepatan bacaan.

Kata beliau sudah menjadi peraturan bagi setiap operator air, meter lama yang berusia lebih tujuh tahun perlu ditukar memandangkan terdapat kandungan ion sehingga menyebabkan meter berkarat.

Katanya, meter lama yang berusia lebih tujuh tahun akan kehilangan ketepatan bacaan sehingga 40 peratus.

“Sehingga sekarang sebanyak 60,000 meter lama sudah ditukar. Projek NRW dijangka selesai pada Ogos hadapan. Dan selepas itu tempoh setahun diberi bagi kerja-kerja pemantauan.

“Selepas tempoh itulah baru kita dapat lihat kesannya bagi mengurangkan NRW ke tahap yang minimum,” ujarnya.
Dikuasakan oleh Blogger.