Header Ads

Bukan Islam pemimpin PAS: Idea bagus tapi tidak cermat

WarkahDaily -- Jawapan spontan mungkin daripada seorang AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu wacana di Sinar Harian baru-baru ini terhadap persoalan PAS akan menerima bukan Islam menjadi Timbalan Presiden PAS.


Dr Dzulkefly Ahmad
Sedikit penentangan berlaku terhadap pandangan Dr Dzulkefly itu oleh kebanyakan ahli PAS dan pemimpinnya dan mereka tidak bersetuju dengan idea itu selepas cerita ini dikeluarkan oleh pihak media. Apa yang pasti, kita perlu berhati-hati dengan media sebelum menerima apa yang diberitakan.

Pandangan peribadi

Walau apa pun, penulis WarkahDaily (WD) mahu kata, jika betul apa yang dilaporkan media, maka pandangan yang dibuat Dr Dzulkefly itu cuma pandangan peribadi beliau, mungkin untuk masa depan, bukan sekarang sepertimana yang diperjelaskan oleh beliau sendiri dalam penjelasan berkaitan polemik yang timbul selepas idea itu dilontarkan.

Mungkin ada kebenaran dan ia satu idea bijak bagi menunjukkan keterbukaan PAS yang tidak membezakan warna kulit dan kaum berdasarkan apa yang berlaku kepada parti yang ditaja Ikhwan Muslimin di Mesir yang melantik seorang Kristian memegang jawatan tertinggi dalam parti berkenaan.

Tapi bagi penulis WD, idea itu terlalu terbuka dan terlalu gopoh untuk dilontar kepada umum, tambah-tambah lagi kita berada dalam suasana pra ‘peperangan’ dengan musuh, menjelang Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang semakin dekat.

Musuh ambil kesempatan

Sudah tentu idea bagus ini akan berubah menjadi sebaliknya jika ianya tidak dikendalikan dengan bijak dalam suasana kebanyakan masyarakat negara kita yang belum lagi boleh menerima apa yang pernah dilakukan oleh Ikhwan Muslimin di Mesir itu.

Memang betul apa yang disebut oleh Dr Dzulkefly, ianya bukan untuk masa sekarang, ianya adalah kebarangkalian untuk di masa akan datang yang memerlukan perbincangan dalam muktamar tapi apakah relevannya jika idea itu disebut dalam suasana sekarang, lebih-lebih lagi ianya sudah menjadi perhatian musuh sehingga menjadi ‘peluru’ untuk menyerang kita bagi mendapat manfaat dari kaum Melayu yang belum mencapai taraf memahami maksud sebenar Dr Dzulkefly. Walaupun isunya nampak kecil tapi ia tetap memberi kesan.

Sudah tentu media musuh akan memutar belit pandangan Dr Dzulkefly agar umat Islam akan melihat PAS seolah-olah semakin meninggal perjuangan Islam. Memang dah pun berlaku, Tun Mahathir seolah-olah ‘mengejek’ PAS supaya melantik Lim Kit Siang sebagai pemimpin PAS. Bagi kita memang tidak memberi kesan, tapi bagaimana para pengundi Melayu yang akan diwakili PAS pada PRU nanti? Untuk PRU-13, kita bukan lagi mahu memerintah untuk beberapa negeri sahaja tapi mahu takluki Putrajaya. Sudah tentu pengundi Melayu yang beragama Islam turut memainkan peranan selain kaum lain tidak diabaikan.

Tunggu muktamar

Jadi, pandangan penulis WD, bukan sahaja penerimaan masyarakat setempat, bahkan ianya boleh dikatakan perlu kepada perbincangan yang lebih besar ke arah perubahan dasar dalam PAS yang memerlukan pemimpin kanan parti itu turut membarisi Jawatankuasa Syura yang dibarisi dari kalangan ulamak. Sudah tentu ianya perlu kepada pemimpin beragama Islam. Jadi perkara ini perlu kepada perubahan dasar yang besar dalam PAS.

Bagi penulis WD, perkara ini bukan mustahil untuk di masa akan datang tapi sekarang tidak. Jadi, sepatutnya Dr Dzulkefly tidak perlu gopoh untuk memberi idea berpandangan jauh ke depannya itu kerana mahu mengikut rentak Ikhwan Muslimin yang sudah tentu suasana penerimaan dan keterbukaan rakyat Mesir amat berlainan berbanding negara kita.

Sekurang-kurangnya Dr Dzulkefly perlu menunggu muktamar seterusnya untuk membincangkan idea bagusnya itu demi survival PAS untuk 10 tahun akan datang. Atau, meminta pandangan Majlis Syura terlebih dahulu sebelum ianya dibicarakan secara umum agar tidak timbul perkara yang kurang bagus ketika kita dalam proses berhadapan pilihanraya yang semakin dekat.

Padahal Dr Dzulkefly turut mengakui ‘priority’ isu berkenaan yang perlu kepada muktamar terlebih dahulu tapi pengakuannya itu hanya berlaku selepas ia dah pun dituturkan kepada khalayak masyarakat umum sehingga mudah diputar belit oleh pemimpin Umno dan media arus perdana.

Sekurang-kurangnya, bila tunggu muktamar, setiap pemimpin PAS tidak lagi mempunyai pandangan berlainan antara satu lain selepas ianya diputuskan dan dibincangkan di peringkat tertinggi oleh perwakilan selari dan Majlis Syura Ulamak. Pandangan peribadi biasa tapi jangan sampai ia terdedah kepada musuh untuk menyerang kita.

Buat masa ini, kita perlu berhemah dan cermat untuk mengeluarkan apa-apa idea agar ianya tidak diambil kesempatan oleh musuh untuk mengelirukan masyarakat.

Ulasan bagus veteran PAS

Penulis WD suka dengan ulasan dari veteran PAS, Tuan Haji Subky Abdul Latif dalam memberi pandangannya berkaitan isu ini yang dipetik dari Harakahdaily.

Pimpinan PAS bukan Islam satu tanda terbuka

APA kata kalau Timbalan Presiden PAS terdiri dari seorang bukan Islam seperti yang dikatakan dilontarkan oleh Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dalam satu wacara di Sinar Harian baru-baru ini?


Haji Subky Abdul Latif
Betulkah dia berkata begitu atau ia sekadar tanggapan tidak tepat pemberita?

Tentulah ia suatu yang mengejutkan dan suatu yang tidak pernah difikirkan oleh sesiapa.

Kemungkinan seperti yang diberitakan itu suatu yang tidak akan berlaku sekurang-kurangnya dalam masa 20 tahun atau tiga puluh tahun akan datang.

Dr. Dzul sendiri pun tidak memikirkan ia akan berlaku mungkin dalam usianya sendiri. Mungkin dia mati dulu sebelum ia menjadi kenyataan.

Sama ada ia betul begit atau suatu yang diada-adakan, ia tidak lebih dari satu lontaran kepada PAS dan masyarakat Malaysia setelah perkembangan yang terjadi di Mesir apabila parti Islam yang ditaja oleh Ikhwan Muslimin menerima seorang Kristian Kibti menjadi Timbalan Presidennya sekarang.

Dia bukan Timbalan Presiden Ikhwan Muslimin. Ia Timbalan Presiden parti yang ditaja Ikhwan Muslimin bagi mendepati politik memerintah Mesir sekarang. Ikhwan dikira ibu kebanyakan parti Islam di dunia sekarang, mempunyai sikap dan disiplin Islam yang jelas. Apa yang berlaku di Mesir itu adalah memperlihatkan keterbukaan politik Ikhwan dalam iklim politik sekarang.

Apa yang terjadi di Mesir itu satu kejutaan dan ia suatu yang diterima.

Dr Dzulkefly adalah antara orang yang boleh menerima perkembangan jika keperluannya ada. Saya sendiri belum nampak ia boleh berlaku dalam PAS dalam waktu yang terdekat, tetapi dalam pemikiran baru pejuang Islam sekarang sudah ada orang berfikiran terbuka seperti itu.

Maka kita mesti menerima bahawa dalam PAS mungkin sudah ada orang berfikiran terbuka seperti itu. Ia adalah menggambarkan bahawa rata-rata pemimpin PAS dan penyokongnya adalah orang yang berfikiran terbuka cuma kebanyakannya belum tiba ke tahap kemajuan seperti yang dilontar itu.

Pandangan itu telah mendahului zaman yang belum dicapai oleh rakan-rakan yang lain tetapi ia adalah perkembangan tentang kemajuan PAS yang amat terbuka dalam pemikiran politik tetapi tetap tidak sampai bertolak ansur dengan Islam liberal.

Bakal timbul polemik

Ada beberapa masalah yang menghalang beberapa jawatan penting dalam PAS bagi disandang oleh orang bukan Islam. Jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan satu dua lagi memerlukan kelayakan ilmu dan kemahiran berpolitik. Ketinggian ilmu Islam tanpa kemahiran politik adalah bermasalah. Kemahiran berpolitik dengan ilmu yang terhad juga ada masalah.

Pemimpin penting parti Islam mesti memilik kelayakan yang secukupnya. Kelayakan itu hanya ada pada orang Islam saja. Politik Islam itu melibatkan perkara hukum, ibadat dan lain-lain. Ia tidak dapat dipenuhi oleh orang.

Polemik yang berterusan dalam PAS sekarang ialah tentang dua jawatan penting dalam parti – Presiden dan Timbalan – wajar atau tidak terdiri dari ulama? Amalan selama 30 tahun lalu dua jawatan itu mesti ulama kerana mereka perlu duduk dalam Majlis Syura Ulama yang keanggotaannya semua ulama.

Jika kedua penjawat jawatan itu bukan ulama sukar bagi mereka menjadi anggota Majlis itu. Wakil jawatankuasa pusat dalam majlis syura adalah wajib. Jika mereka tidak ulama, mereka tidak boleh jadi ahli Majlis Syura dan Majlis Syura akan diwakili oleh jawatankuasa pusat yang kurang kanan.

Parti boleh bergelombang

Dari segi teori Timbalan Presiden akan memangku Presiden jika Presiden berhalangan. Jika Timbalan Presiden seorang bukan Islam, PAS akan dipimpin oleh bukan Islam kiranya berlaku sesuatu pada Presiden. Suasana itu akan menjadi satu perkara baru menyebabkan parti boleh bergelombang.

Malah keadaan sekarang apabila Timbalan Presiden yang dipegang oleh Mohamad Sabu yang bukan ulama, nescaya ada gelombang kiranya Presiden berdepan sesuatu masalah. Maka yang terbaik kedua-duanya mesti ulama. Gelombang akan lebih kiranya Timbalan Presiden itu pula bukan Islam.

Demi keselesaan jamaah yang terbaik ialah calon Timbalan Presiden itu memeluk Islam dulu dan membuktikan dia lebih layak dari muslim yang lain dalam parti itu.

Apapun pandangan yang dikatakan dari Dr. Dzulkefly adalah satu percambahan fikiran yang sihat dan baik. Pemikiran demikian dapat membantu parti dilihat sebagai berfikiran maju dan berlapang dada.

Amat penting bagi seseorang, bahkan menjadi ia seorang yang bijak jika sebelum melontarkan sesuatu pandangan atau pun idea, terlebih dahulu beliau memikirkan untuk dirinya sendiri akan kesan yang bakal timbul selepas itu.

Ketika itu, menangguh adalah lebih bagus daripada melontarnya kepada khalayak yang masih belum bersedia untuk menerimanya. Tapi bukan untuk selama-lamanya, namun perlu menunggu kesesuaian masa dan tempoh.

--WARKAHDAILY
Dikuasakan oleh Blogger.