Header Ads

Bukan susah nak betulkan persepsi masyarakat terhadap polis jika bertugas bukan kerana parti politik

WarkahDaily – Tak perlu penjenamaan semula dan tak perlu tunggu hari ulangtahun ke 205 jika mahu ubah persepsi masyarakat terhadap polis. Selagi polis tidak melakukan tugas secara songsang dan tidak bertugas kerana diarah orang politik untuk jaga kepentingan pihak tertentu, dah tentu masyarakat tidak menyalahkan polis, bahkan masyarakat lebih sayangkan polis sebab polis betul-betul jaga keamanan negara, bukan jaga parti politik.

Dipetik dari Malaysiakini, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mahu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengubah persepsi masyarakat terhadap institusi kepolisan dengan memantapkan kualiti perkhidmatan demi kepuasan orang ramai.

Beliau berkata persepsi sesetengah masyarakat terhadap perkhidmatan polis yang didakwa tidak ‘memuaskan’ perlu ditangani bagi menjaga kredibiliti pasukan yang telah wujud sejak 205 tahun lalu.

“Usaha menangani persepsi bermula dari akar umbi, dan anggota yang berdepan dengan orang ramai atau 'frontliners' mestilah menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka," katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Polis ke-205 di Dataran Merdeka, kelmarin.

Rakyat bukan mahu memaksa polis atau mendesak polis melakukan apa yang bukan kemampuan polis jika sesuatu jenayah berlaku tetapi rakyat mahu polis bertugas seperti mana yang perlu dilakukan.

Polis tugasnya menjaga keamanan negara, jadi perlu sedar polis bukan diarah membabi-buta oleh pemimpin negara untuk ‘menjaga periuk nasi’ mereka.

Hari ini, masyarakat meluat dengan polis kerana bidang tugas mereka sudah dieksploitasi oleh pemimpin parti politik pemerintah untuk jaga kuasa mereka yang dilihat semakin tertekan.

Rakyat yang mahukan keadilan cuba dihalang, ditahan tetapi pemimpin dan parti politik yang menyalahgunakan kuasa pula ‘dibela’. Inilah masyarakat tidak suka.

Kadang-kadang, pihak polis dilihat terpaksa melakukan kerja yang bukan tugas mereka. Yang kena kesan kemarahannya bukan orang yang mengarah tetapi orang yang melakukan arahan iaitu polis bawahan. Tak mustahil ada di kalangan mereka tersempit antara arahan dan integriti.

Hari ini, polis diarah mengawasi tindak tanduk ahli politik, menghalang ceramah pihak lawan parti pemerintah, menjejaki rakyat yang menentang parti kerajaan, menghalang penyalahgunaan kuasa kerajaan daripada didedahakan kepada khalayak. Dengan sebab itu, masyarakat menjadi meluat dengan anggota polis, walaupun mereka hanya menjalankan tugas yang ‘dipaksa’.

Apa-apa pun, penulis WarkahDaily (WD) mahu mengucapkan selamat hari polis yang ke 205. Semoga bertugas demi keamanan negara dan bukannya kerana dipaksa parti politik pemerintah.

--WARKAHDAILY
Dikuasakan oleh Blogger.