Header Ads

Bukti jelas Najib dan BN tidak ikhlas mohon maaf

WarkahDaily -- Bukan sahaja memperbodohkan permohonan maaf yang dibuat pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini [Baca sini], bahkan tersangat bacul dan langsung tidak demokratik sebagai pihak bertanggungjawab memikul amanah sebagai kerajaan yang memerintah semua golongan rakyat tidak kira pro kerajaan atau pro Pakatan Rakyat.

Dipetik dari Malaysiakini, Sepucuk surat yang didakwa ditandatangani oleh Menteri Muda Pertanian Sarawak Datuk Mong Dagang yang mengarahkan bantuan kerajaan kepada seorang lelaki kurang upaya dihentikan atas tuduhan menyokong pembangkang telah menimbulkan kemarahan warga maya.

‘Surat’ berkenaan dimuat naik di Facebook. Ia dikatakan dari “Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Pemasaran), Sarawak” dengan tajuk: “Memberhentikan segala bantuan kerajaan - Encik Frusis Lebi dari Entualang Entawa, Sri Aman”.

Surat yang dikatakan ditandatangani oleh Dagang (gambar kiri) itu mengarahkan Penolong Pengarah Jabatan Pertanian Sri Aman supaya semua bentuk bantuan kerajaan untuk Frusis, yang dikenal pasti sebagai orang kurang upaya dalam surat itu, diberhentikan serta-merta.

“Ini adalah kerana beliau menentang dasar kerajaan dan menyokong secara terbuka calon pembangkang pada pilihan raya negeri 2011,” petik surat itu.

“Selain itu, beliau juga menyediakan bilik operasi untuk calon pembangkang.”

Johnnie B Goode, yang memuat naik salinan surat itu pada Jumaat lalu, menulis di Facebook:


ARAHAN HENTI BANTUAN.
[Klik gambar untuk paparan jelas]

“Arahan tidak berperikemanusiaan dan tanpa malu dari Menteri Muda Pertanian Mong Dagang dari parti pemerintah untuk menamatkan secepat mungkin elaun OKU Encik Frusis Lebi kerana beliau secara terbuka menyokong pembangkang.”

Artikelnya itu kemudiannya dikongsi lebih 1,300 pembaca di Facebook dan menerima reaksi negatif dari warga maya yang ternyata berang dengan tindakan berkenaan jika ternyata benar.

“Tidak manis bagi seorang Menteri Muda bertindak demikian terhadap seorang kurang upaya. Amal dan kebajikan tidak patut dicampur dengan urusan politik,” komen Sunny Ng.

‘Surat’ bertarikh 8 Disember tahun lalu itu turut memuatkan apa yang didakwa sebagai tandatangan Mong.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini, Mong yang juga ADUN Bukit Begunan enggan mengulas mengenai perkara itu.

“Saya akan mengeluarkan satu kenyataan pada masa yang tepat,” katanya.

Beliau juga enggan mengesahkan atapun menafikan sama ada surat itu dikeluarkan oleh dirinya atau pejabatnya.

Pada pilihan raya negeri Sarawak tahun lalu, Mong mengalahkan tiga calon lain - PKR, Snap dan Bebas - untuk mengekalkan kerusinya. -Malaysiakini.com


Sebenarnya bukan sekarang perkara sebegini berlaku di negara jakun ini, malahan dah berabad lamanya rakyat yang tidak menyokong parti kerajaan akan dinafikan bantuan dan segala bentuk diskriminasi telah dilakukan terhadap rakyat yang tidak menyokong parti kerajaan. Seolah-olah, demokrasi di negara ini sudah pupus dek kejumudan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) berpolitik. Memang politik sempit.

Segala usaha dengan wang ringgit konon untuk rakyat 1Malaysia, tapi hanya segelintir yang mendapat habuan. Hanya mereka yang sanggup ‘mencium’ tangan pemimpin Umno-BN sahaja yang diberi bantuan walaupun tidak layak untuk menerimanya.

Inilah budaya pemimpin Umno-BN memerintah negara seolah-olah negara ini adalah milik ‘mak-bapak’ mereka punya. Harta dan wang kerajaan yang sepatutnya diagihkan untuk kepentingan semua termasuk yang menyokong Pakatan Rakyat (PR) tapi hanya yang ‘mesra’ Umno-BN sahaja yang dapat merasanya. Seolah-olah khazanah negara datangnya dari kantung Umno-BN.

Sejak bila pulak kerajaan itu Umno-BN, Umno-BN itu kerajaan? Inilah akibatnya bila sepanjang masa duk berfikirkan politik sempit, bukannya betul-betul mahu menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat keseluruhan.

Sudah sampai masanya parti jumud sebegini ditolak dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 nanti.

--WARKAHDAILY
Dikuasakan oleh Blogger.