Header Ads

[Gambar & Video] Anak buah Rajagopal sekadar seri dengan Filipina


WIRA...Shakir Ali (kanan) meraikan golnya dengan rakan sepasukan, Safee Sali dalam perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa menentang Filipina di Manila pada 29 Februari, 2012 (semalam). Perlawanan berakhir dengan seri 1-1. | foto Getty Images
WarkahDaily – Skuad Harimau Malaya bernasib baik apabila nyaris dimalukan oleh Filipina dalam perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa semalam di Stadium Rizal Memorial, Filipina.

[Tonton sedutan video dan gambar perlawanan Malaysia vs Filipina bawah artikel]

Dalam perlawanan itu, Malaysia sekadar seri 1-1 dengan tuan rumah walaupun anak buah Datuk K. Rajagopal dilihat lebih banyak menguasai permainan dengan beberapa percubaan tercipta namun ianya berjaya dipatahkan oleh kecekapan penjaga gol tinggi lampai Filipina.

Permulaan perlawanan separuh masa pertama, Malaysia dilihat lambat mendapat rentak di atas padang yang kurang memuaskan, menyebabkan tuan rumah mengambil peluang mengatur rentak mendominasi bahagian tengah padang.

Lama-kelamaan, Malaysia menemui rentak dengan menunjukkan permainan pantas dengan melakukan serangan ke kubu lawan. Filipina yang menurunkan barisan terkuatnya turut tidak terkecuali sesekali melakukan ‘counter attack’ ke kubu Malaysia.

Malaysia mendapat peluang keemasan untuk berada di depan pada minit ke-24, namun ianya disia-siakan oleh Safiq Rahim dengan tendangan terlalu kuat selepas mendapat umpanan cantik dari Safee Sali.

Ketika Malaysia sedang berusaha mencari gol awal, Filipina mencuri tumpuan apabila Jason Sabio membuat lontaran masuk yang kuat sehingga menepati kepada Denis Wolf di depan gol Malaysia sebelum menanduk masuk menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias pada minit ke-34.

Ketinggalan 0-1, Malaysia mula menyusun rentak melakukan serangan ke pintu gol tuan rumah namun benteng Filipina nyata kental untuk ditembusi.

Melihat anak buahnya sukar untuk menembusi benteng lawan, Rajagopal mula melakukan pertukaran dengan memasukkan Zaquan Adha dan Amirizwan, namun masih gagal memecah kebuntuan.

Filipina sekali lagi melakukan serangan balas sehingga hampir membuahkan hasil melalui Juan Luis Guirado, namun ianya dihalang oleh tiang gol.

Safiq Rahim sekali mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan, namun kekentalan penjaga gol tuan rumah, Neil Etheridge terus menghampakan barisan anak buah Rajagopal.

Ketika perlawanan memasuki masa tambahan selepas masa sebenar sudah pun tamat, Shakir Ali yang baru sahaja dibawa masuk, berjaya menyelamat maruah juara Piala AFF Suzuki 2010 apabila bijak melakukan penyudah hasil lorongan cantik kapten kelab Pelita Jaya, Safee Sali pada minit ke-91.

Walaupun Malaysia dilihat hampir ditewaskan Filipina, namun penulis WarkahDaily (WD) tetap mengucapkan tahniah buat barisan anak buah Rajagopal yang berjaya mencuri satu mata dari Filipina yang dibarisi separuh pasukannya dengan pemain import iaitu penjaring gol tuan rumah, Denis Wolf (Jerman), Jason de Jong (Belanda), Juan Luis Guirado (Sepanyol), Neil Etheridge (Fulham, England), disamping pemain kacukan adik-beradik, James Joseph dan Phillip James.

Sedutan video perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia vs Filipina pada 29 Februari 2012




Gambar pilihan ketika perlawanan persahabatan Malaysia vs Filipina
[Klik gambar untuk zoom atau paparan lebih jelas]











--WARKAHDAILY
Dikuasakan oleh Blogger.