Header Ads

Gol masa kecederaan Chanturu bantu Kelantan kutip tiga mata penuh tewaskan Negeri Sembilan


KAPTEN Kelantan, Mohd Badri (dua dari kiri) melakukan rembatan cuba dihalang pertahanan N Sembilan Marian Farbak pada saingan Liga Super di Kota Bharu, malam tadi. | foto Berita Harian
Gol masa kecederaan S Chanturu membantu Kelantan mengutip tiga mata penuh, sekali gus mengekalkan penguasaan di persada Liga Super selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Sebaik sepak mula, Kelantan yang dikendalikan buat pertama kali jurulatih baru, Bojan Hodak, hanya memerlukan dua minit untuk membuka jaringan apabila kapten, Badhri Radzi yang tidak dikawal menerima hantaran cantik Zairul Fitree Ishak sebelum merembat padu menewaskan Farizal Marlias.

Negeri Sembilan cuba bangkit mencari gol penyamaan tetapi gawang Kelantan yang dijaga Khairul Fahmi Che Mat cukup sukar ditembusi untuk kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Selepas rehat, anak buah Azraai Khor Abdullah bagai disuntik semangat baru dan mula mengawal permainan dan Khairul Fahmi yang cuba memintas bola gagal menangkap kemas dan Shakir Ali tampil menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-53.

The Red Warriors yang tampak tidak kekok di bawah Hodak yang menggantikan Peter Butler, hampir dikecewakan Effa Owana pada minit terakhir, tetapi percubaan penyerang itu sempat ditepis Khairul Fahmi.

Ketika kedudukan 1-1 tampak memuaskan hati kedua-dua pasukan, Kelantan menyambar tiga mata penuh apabila Chanturu yang berada di dalam kotak penalti menyempurnakan bola selepas gagal dikeluarkan pemain Negeri Sembilan.

Penyandang juara Liga Super itu kekal di persada liga dengan 20 mata, tiga mata di depan Terengganu dan empat mata di depan T-Team dan Perak manakala Negeri Sembilan masih di tangga ketujuh dengan 12 mata.

Sumber: BHarian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.