Header Ads

Jawatankuasa Pilihan Parlimen kaji isu Lynas hanya gimik menjelang PRU-13

Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) untuk mengkaji isu Lynas adalah "tidak perlu" dan satu "gimik" untuk melambatkan usaha menangani isu tersebut sehingga selepas pilihan raya umum, kata gabungan alam sekitar, Himpunan Hijau kelmarin.

"Pengumuman Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengenai penubuhan PSC untuk mengkaji isu loji pemprosesan nadir bumi Lynas adalah tidak perlu, dan kami mengesyaki ia satu lagi gimik untuk mengheret isu ini sehingga selepas pilihanraya.

"Jika perdana menteri benar-benas berpegang kepada moto 'Rakyat Didahulukan', maka inilah masa untuk beliau membuat keputusan tegas kerana rakyat sudah bersuara dengan kuat dan jelas," kata Wong Tack, pengerusi jawatankuasa pemandu gabungan tersebut.

Wong berkata, ahli-hli Parlimen jelas tidak mengambil serius isu Lynas selepas isu-isu berkaitan dengan loji berkenaan telah berulangkali dibangkitkan kepada rakyat.

"Seluruh negara tahu bahawa semua undang-undang dan prosedur telah dilanggari dari awal lagi untuk membawa projek pencemaran yang besar ini dan seluruh projek ini tidak masuk akal dari segi ekonomi dan sosial," kata Wong dalam satu kenyataan.

"Namun, hanya sekarang dan selepas semua fakta dikemukakan dengan begitu jelas, selepas rakyat telah membuat keputusan, ahli parlimen kita masih mahu menubuhkan jawatankuasa yang tidak diperlukan ini," katanya.

Sebaliknya, kata Wong, perdana menteri perlu tampil membuat kenyataan yang jelas mengenai loji Lynas.

"Berapa kuat anda mahu kami menjerit dan melaung sebelum anda boleh mendengarnya?" tegasnya.

Bulan lepas, dianggarkan 15,000 penyokong hadir di perhimpunan Himpunan Hijau di Kuantan, Pahang, untuk membantah pembinaan loji nadir bumi di Gebeng.

Sumber: Malaysiakini.com
Dikuasakan oleh Blogger.