Header Ads

Kerajaan pusat berhutang RM102 juta wang Dana Khas dengan Terengganu

PAS mempersoal Kerajaan Persekutuan yang belum membayar RM102 juta duit Dana Khas Terengganu yang digunakan untuk membina Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri itu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Nohamad Abdul Wahid Endut (gambar) berkata, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mesti membayar wang tersebut kerana RMR dan RMM dijual dan kerajaan mendapat keuntungan.

"Disebutkan tadi, daripada RM873 juta yang dibelanjakan untuk bina rumah oleh SPNB di seluruh negara, RM102 juta untuk dibelanjakan untuk bina rumah di Terengganu sendiri tetapi kenapa RM102 yang digunapakai oleh SPNB tidak mahu dikembalikan kepada Terengganu?

"SPNB buat rumah guna duit Terengganu. Walaupun buat rumah di Terengganu, tetapi SPNB jual dan dapat keuntungan. Mengapa RM102 juta itu tidak mahu dipulangkan balik dan nak dihapuskira?" soal beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat kelmarin.

Abdul Wahid turut mendakwa Kerajaan Persekutuan juga menggunakan duit Kerajaan Negeri Terengganu untuk membina lebuh raya dan lapangan terbang.

"Projek kementerian seperti bina Lapangan Terbang Sultan Mahmud guna duit Terengganu.

"Untuk bina Lebuh Raya Pantai Timur lebih RM3.8 bilion pun 50 peratus guna duit Terengganu," katanya.

Abdul Wahid dalam soalan asalnya meminta Menteri Kewangan menyatakan bilakah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang menggunapakai sebanyak RM873.4 juta duit "Dana Khas Terengganu" untuk membina Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh negara akan membayar balik duit tersebut kepada Kerajaan Terengganu.

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai dalam jawapannya memberitahu, kerajaan berjanji akan membayarnya secara berperingkat-peringkat.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.