Header Ads

Keselamatan terancam: Kerajaan perlu ambil tindakan terhadap Peguam Negara dan bekas Ketua Polis Negara

Kerajaan sepatutnya mengambil tindakan terhadap Peguam Negara dan bekas Ketua Polis Negara untuk membersihkan nama polis, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat kelmarin, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, apabila polis didakwa terlibat dalam memberikan perlindungan kepada penjenayah, ia ancaman baru kepada negara.

"Ini ancaman baru kepada negara, kepada kita. Soal keselamatan yang polis tidak boleh hendak mengawal keadaan kerana apa, kerana ada pegawai tinggi polis yang melindungi kumpulan kongsi gelap," kata Mahfuz.

Perbahasan hangat berlaku antara Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendakwa perkara itu tidak ada kes ketika dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sebelum ini.

"Pada masa dan ketika itu tidak ada kes untuk SPRM melaksanakan dan meneruskannya," dakwa menteri itu.

Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Ramli Yusuff sebelum ini mendakwa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan melindungi penjenayah dan mendakwa mereka menggunakan SPRM menganiayai pegawai-pegawai polis yang terlibat dengan penyiasatan ke atas penjenayah berkenaan.

Apabila Hishammuddin mendakwa SPRM mendapati tidak ada kes, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menyanggah dakwaan itu dengan menekankan siasatan tersebut ialah siasatan lama.

"Itu siasatan yang lama. Selepas daripada siasatan tersebut, bangkit keterangan baru, bangkit saksi-saksi yang menyatakan mereka sudi hendak tampil ke hadapan tapi langsung tidak ada sebarang tindakan.

"Jawapan yang diberikan hari ini langsung tidak menyentuh terhadap perkara-perkara tersebut," kata Gobind.

Mahfuz pula menekankan Ramli tidak membuat dakwaan tanpa bukti.

"Bekas pegawai kanan polis dia datang bukan dengan cakap kosong. Dia datang dengan dokumen.

"Dia datang dengan penuh keberanian. Dia tahu risiko dia," katanya.

Ketika itu, Gobind terus menyambut penegasan Mahfuz itu dan berkata kerajaan tidak menyiasat perkara itu "kerana tahu aduan (Ramli) itu betul".

Ramli sebelum ini menyatakan kekecewaan terhadap keengganan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan untuk menyiasat kes yang dinamakan "Copgate" itu.

Hari ini, Ramli menyifatkan jawapan Hishammuddin bahawa kes itu disiasat oleh SPRM sebagai mengingkari logik.

Beliau menekankan dakwaan bahawa badan pencegahan rasuah itulah yang digunakan oleh Abdul Gani dan Musa untuk memangsakan beliau dan para pegawai bawahannya.

Malah, kata Ramli, SPRM jugalah yang membebaskan Abdul Gani dan Musa atas beberapa tuduhan.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.