Header Ads

Khidmat seks di sebalik perniagaan kafe berjaya dipatahkan

IPOH: Sebuah pusat hiburan yang berselindung di sebalik perniagaan kafe ligat mempromosikan perniagaannya dengan mengedar risalah tertera gambar gadis seksi di sekitar kawasan Bercham dan Tasek.

Namun tindakan premis yang baru sebulan memulakan perniagaan itu membawa padah apabila diserbu sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri, Khamis lalu.

Serbuan pada jam 10 malam itu berjaya menahan 14 wanita warga Vietnam berusia 20 an selepas mereka didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan menawarkan khidmat seks kepada pengunjung premis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, sindiket pelacuran membabitkan warga asing sukar dikesan kerana licik menyembunyikan kegiatan tidak bermoral itu di sebalik perniagaan pusat urut dan pub.

Menurutnya, tangkapan wanita asing itu adalah sebahagian usaha membanteras jenayah pelacuran dan perjudian yang semakin berleluasa di bandar raya itu.

“Masalah pelacuran membabitkan warga asing boleh dikatakan antara kes tertinggi dilaporkan namun, ia masih terkawal selepas aktiviti penguatkuasaan yang kerap dilakukan polis. Siasatan awal mendapati warga asing berkenaan menggunakan dokumen perjalanan sah tetapi menyalahgunakannya,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan IPK Negeri di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, kerjasama dari orang ramai dapat membantu pihaknya membanteras kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan kediaman.

Sementara itu, beliau memaklumkan akan menganugerahkan sijil penghargaan kepada veteran dan pesara polis serta dua individu dari setiap daerah sempena sambutan Hari Polis ke-205 di Pejabat Pasukan

Simpanan Persekutuan (FRU), Sungai Senam pada 25 Mac ini.

Sumber: Sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.